[VIDEO] 'Siapa yang nak tengok kalah?' Bobie jawab soalan penyokong soal prestasi TBG


  • Podium
  • Isnin, 05 Jun 2023

CEO Interim Perak FC tersebut diberikan tekanan susulan prestasi terumbang-ambing skuad TBG ketika ini. — Facebook/Perak FC

PERUBAHAN ketua jurulatih seperti tidak membawa impak buat Perak FC apabila mereka mengalami kekalahan kelapan dalam kancah Liga Super kepada Terengganu FC.

Dalam aksi yang berlangsung di Stadium Ipoh, Perak pada Sabtu, kealpaan benteng pertahanan skuad The Bos Gaurus (TBG) dihukum jentera serangan pihak lawan.

Kekalahan 0-3 itu pastinya sukar diterima rata-rata penyokong kelab Utara tanah air itu memandangkan mereka kini berada di kedudukan ke-11 selepas 13 perlawanan.

Lebih teruk lagi, keputusan itu dicatatkan selepas mereka melantik Yusri Che Lah sebagai pengendali sementara berikutan pengguguran Datuk Lim Teong Kim daripada jawatan berkenaan.

Bagi segelintir pengikut setia TBG, tindakan yang dibuat pihak pengurusan itu wajar dipersoalkan memandangkan kedua-dua jurulatih itu mempunyai perbezaan ketara dari segi latar belakang.

Kesalahan tersebut pastinya diletakkan di bahu Ketua Pegawai Eksklusif (CEO) Interim Perak FC, Bobie Farid Shamsuddin atas keputusan menamatkan khidmat Teong Kim.

Komen daripada Bobie selepas kekalahan kepada Terengganu FC pada Sabtu.

Namun, sikap keterbukaannya wajar diberikan pujian memandangkan dia kerap memberi pandangan dan jawapan terhadap soalan yang diajukan penyokong.

Malah, dalam satu video yang kini tular di media sosial, Bobie dengan jujur menyatakan kekecewaannya apabila pasukan berkenaan tewas kepada Terengganu FC.

"Pasukan kita masih belum berada di tahap yang boleh berdepan dengan kelab-kelab bagus yang ada dalam Liga Malaysia ketika ini.

"Tetapi, sekurang-kurangnya, kita ambil Perak tahun ini, kita belanjakan ke atas perkara yang tidak patut, tapi, ini merupakan apa yang terbaik kita boleh lakukan ketika ini," katanya.

Perkara tersebut dikatakan ketika menjawab persoalan seorang penyokong di Stadium Ipoh, Perak untuk mengetahui akan pandangannya ke atas kekalahan berkenaan.

Selain itu, Bobie turut berkesempatan memberi pandangan bahawa rombakan besar-besaran tidak boleh dibuat secara terburu-buru melihat kepada struktur kewangan Perak FC.

"Siapa yang nak tengok kalah? Tapi, kalau kita harapkan (perubahan), kita perlu tunggu. Kita kumpul duit tahun ini atau pada tahun depan, kita akan ubah.

"Pemain-pemain ini sahaja yang kita miliki ketika ini, semuanya berkontrak dan kita tidak boleh berbuat sesuka hati. Jendela perpindahan kedua pun mungkin akan dibuka selepas satu atau dua perlawanan, mungkin kita akan buat sedikit perubahan," jelasnya lagi.

Bobie yang juga merupakan CEO OneXOX Sdn Bhd sebelum ini dilantik untuk memegang jawatan berkenaan pada Mei 2022 selepas mereka dimiliki XOX Bhd melalui anak syarikatnya, XOX Pro Sport Sdn Bhd.

Kehadiran syarikat telekomunikasi itu bersama skuad TBG sedikit sebanyak mengubah hala tuju kelab selepas mereka diselamatkan daripada kemelut kewangan beberapa tahun dahulu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram