
PEMAIN kelahiran Sepanyol, Miguel Cifuentes mengumumkan bahawa dia akan meninggalkan Kelantan FC selepas menabur bakti sejak awal musim lalu.
Disebut-sebut bakal menyertai Kedah atau Sabah sebaik jendela perpindahan pemain dibuka semula Julai depan, bekas pemain Malaga CF itu menyampaikan perkara berkenaan menerusi satu hantaran di Instagramnya baru-baru ini selepas kekalahan skuad The Red Warriors (TRW) kepada Kelantan United.
Sepanjang kira-kira tiga bulan bersama kelab Pantai Timur itu, Cifuentes atau juga dikenali sebagai 'Cifu' itu muncul sebagai penjaring terbanyak pasukan dengan empat gol dalam 13 perlawanan.
Bagi sesetengah pihak, keputusan tersebut dibuat berikutan kemelut pengurusan Kelantan FC, termasuk kelewatan serta keengganan pemilik kelab, Norizam Tukiman untuk menyelesaikan tunggakan bayaran gaji.
Namun, seorang lagi pemain dijangka akan menuruti langkah pemain berusia 32 tahun tersebut untuk meninggalkan skuad TRW yang kini terperosok di kaki Liga Super.
Yi-chan gagal memberikan impak terbaik buat skuad TRW musim ini. — Facebook/TRW Kelantan FC
Pemain kelahiran Korea Selatan, Kang Yi-chan dikhabarkan menjadi seorang lagi individu yang bakal berhijrah selepas khidmatnya kurang ditagih barisan kejurulatihan.
Ia berikutan satu hantaran di Instagram peribadinya yang memaparkan pemain sayap kanan itu sedang menunggu penerbangan pulangnya ke Seoul, Korea Selatan.
Sejak dimuat naik, foto itu sudah dikongsikan sebilangan besar penyokong Kelantan FC yang mula berteka-teki mengenai masa depan skuad TRW musim ini.
"Risau tidak cukup pemain untuk separuh kedua musim Liga Super. Sekiranya ada klausa mengatakan pemain boleh batalkan kontrak jika berlaku masalah pembayaran gaji, risau lebih ramai yang keluar," kata Amir Shahmi Amram.
Hantaran Yi-chan seperti memberi gambaran bahawa kariernya bersama Kelantan FC sudah tamat.
"Percayalah, jika dia bermain di luar negara, boleh tahan juga permainannya. Tetapi, bersama pasukan bermasalah, akan teruk juga gayanya," kata Mohammad Aidil.
"Pening juga kalau tak cukup pemain untuk pusingan kedua. Kalau tidak cukup pemain, apa yang akan jadi dengan Kelantan FC?" soal Mohd Lazim Jabar.
Musim ini, pemain berusia 22 tahun itu hanya diturunkan dalam empat perlawanan Liga Super serta satu aksi Piala FA, namun tidak memberikan sebarang sumbangan di hadapan pintu gol lawan.
Sebelum mencuba nasib dalam Liga Malaysia, Yi-chan merupakan seorang graduan daripada kelab kecil di Korea Selatan, Doonchon MS selain pernah menyertai beberapa pasukan belia lain. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram