'Dalam locker room, banyak perkara menyentuh hati', Datuk Pak Tam kongsi suasana bilik persalinan Sang Kenari


  • Podium
  • Rabu, 07 Jun 2023

Aminuddin (kanan) akui kehadiran pemain senior cukup penting dalam membangkitkan semangat pasukan.

DALAM sesebuah pasukan bola sepak, peranan kapten boleh dikatakan cukup besar untuk memastikan rakan sepasukan tidak mudah mengibarkan bendera putih di atas padang.

Mereka yang turun dengan lilitan tangan sering dikaitkan dengan kelantangan dalam menyuntik semangat selain menjadi antara watak utama ketika pihak lawan cuba memberi tekanan dari segi mentaliti.

Namun, perlu diingatkan bahawa tanggungjawab berkenaan juga sering dipikul pemain senior yang mempunyai kebolehan dari segi bertutur dan berkomunikasi.

Peranan mereka ini tidaklah terhad di atas padang apabila umum mengetahui bahawa kata-kata mereka ketika berada di dalam bilik persalinan juga tidak kurang hebatnya.

Kebolehan segelintir pihak itu untuk menaikkan moral pasukan memainkan peranan cukup penting bagi kejayaan pasukan, lebih-lebih lagi ketika mereka berada dalam tempoh yang sukar.

Hal tersebut juga bukanlah sesuatu yang cukup janggal dalam dunia bola sepak tanah air yang sering dilimpahi pemain senior dan berpengaruh.

Antara contoh yang cukup sinonim dengan kehadiran pemimpin dalam pasukan pastinya Kedah Darul Aman (KDA) FC yang boleh dikatakan sebagai antara gergasi tanah air.

WhatsApp Image 2023-06-06 at 23.52.07

Khairul Helmi merupakan antara pemain dengan sikap kepimpinan terbaik bersama Kedah FA.

Memasuki penghujung dekad yang lalu, skuad Sang Kenari memiliki pemain yang cukup berkualiti dengan pengalaman cukup berharga dalam karier masing-masing.

Bekas pemain tengah negara, Baddrol Bakhtiar merupakan antara kelibat penting buat Kedah sepanjang tempoh kegemilangan mereka selepas dilantik sebagai kapten sekitar 2011.

Selain itu, bek kanan, Rizal Ghazali dan pertahanan tengah, Khairul Helmi Johari juga adalah segelintir pemain yang disegani melihat kepada kualiti mereka di atas padang.

Tetapi, persoalannya, apakah peranan kesemua pemain senior tersebut di sebalik tabir memandangkan sukar untuk penyokong Hijau Kuning mengetahui personaliti mereka ketika berada di dalam bilik persalinan.

Bekas Exco Belia & Sukan Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Aminuddin Omar berkata, kehadiran dan aura mereka boleh dianggap sebagai komponen penting sepanjang dia memegang portfolio penting itu.

"Selepas separuh masa pertama, kita boleh lihat bagaimana keadaan pemain. Jika mereka sedang ketinggalan, apakah yang perlu dilakukan pemain dan pihak kejurulatihan dalam bilik persalinan?

"Apa peranan pemain senior untuk mententeramkan 'adik-adik' mereka kerana kadang-kadang, kesemua mereka ada sikap dan personaliti tersendiri," katanya kepada Majoriti.

Sepanjang berada di bawah pengurusan Aminudin, Kedah pernah meraih beberapa kejayaan, termasuk ketika mereka muncul sebagai juara Piala FA 2017.

Jelasnya lagi, peranan untuk menyuntik semangat itu kerap dipikul segelintir pemain senior, terutamanya Baddrol dan Syazwan Zainon yang masing-masing merupakan anak jati Negeri Jelapang Padi itu.

"Oleh itu, dalam 'locker room', ada perkara-perkara yang menyentuh hati. Tapi, di situlah mereka membulatkan tekad untuk bermain bersatu hati untuk memberi kejayaan buat negeri," ujarnya lagi.

Baddrol Bakhtiar (left) celebrates his goal with teammate Rizal Ghazali. - Photo by Sabah FC

Baddrol (kiri) dan Rizal kini sedang menabur bakti bersama skuad Sang Badak.

Ketika ini, kesemua pemain yang dianggap sebagai tonggak kejayaan pada pertengahan dekad lalu sudah mengambil haluan masing-masing.

Perpindahan Baddrol dan Rizal ke Sabah FC pada jendela perpindahan 2022 boleh dianggap sebagai satu langkah berkesan memandangkan kedua-dua pemain itu sudah mendapat tempat dalam skuad Sang Badak.

Khairul Helmi, atau dikenali sebagai Keon juga mengambil keputusan untuk mencari angin baharu selepas hampir 13 tahun bersama skuad Sang Kenari apabila berkelana ke Melaka United pada penghujung musim 2020.

Pada jendela perpindahan yang lalu pula, Kedah juga terpaksa menyaksikan pemergian bekas kapten, Syazwan Zainon yang berpindah ke Kelantan United.

Ia sedikit sebanyak memberi impak kepada kualiti kepimpinan di atas padang memandangkan ketua jurulatih KDA FC, Nafuzi Zain masih mencari seorang pemimpin terbaik meskipun tanggungjawab itu digalas Manuel Ott ketika ini. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram