Jumpa ‘The Special One’, Daud Bakar 'hint' kepulangan al-Mardi ke Darul Aman


  • Podium
  • Khamis, 08 Jun 2023

Kepulangan al-Mardi cukup dinanti-nantikan penyokong Hijau Kuning selepas membantu mereka musim lalu. — Facebook/Kedah Darul Aman FC

KEDAH Darul Aman (KDA) FC melakar kemenangan bermakna pada Rabu selepas menundukkan Perak FC dalam aksi Liga Super di laman sendiri dengan kemenangan 3-0.

Dua gol daripada Amirbek Juraboev serta penyerang kelahiran Brazil, Willian Lira memastikan mereka kini berada di tangga ketiga selepas permulaan musim yang sedikit perlahan.

Kejayaan itu juga sedikit sebanyak menyuntik keyakinan buat penyokong Hijau Kuning yang semakin percaya akan sentuhan pihak pengurusan, lebih-lebih lagi pemilik kelab, Tan Sri Mohd Daud Bakar.

Pelaburan yang dibuat pada jendela perpindahan yang lalu menyaksikan beberapa nama besar hadir, seperti Lee Tuck dan Manuel Hidalgo.

Namun, kesan di atas padang sebelum ini seperti tidak memberi gambaran bahawa kehadiran usahawan kelahiran Kedah itu tidak akan memberikan impak cukup baik buat KDA FC.

Bagaimanapun, dengan mereka kini terus mendaki carta liga, suara-suara sumbang daripada segelintir penyokong seperti sudah tidak kedengaran lagi memasuki separuh kedua musim 2023.

Kini, fokus pasti diberikan kepada jendela perpindahan kedua Liga Malaysia yang dijangka akan dibuka pada Julai dalam usaha pasukan untuk menguatkan lagi skuad sedia ada.

Antara aspek yang semestinya perlu diberikan perhatian ialah jentera serangan memandangkan kelab Utara tanah air itu hanya menjaringkan 29 gol selepas 14 perlawanan.

kedais_1677075009 (1)

Daud Bakar merupakan antara figura paling disegani di Kedah ketika ini. Facebook/Kedah Darul Aman FC

Meskipun catatan itu tidaklah terlalu mengecewakan, ia masih dianggap rendah jika hendak dibandingkan dalam kalangan lima pasukan teratas Liga Super.

Oleh itu, penyelesaian terbaik adalah pastinya dengan mencari seorang wajah baharu yang dijangka mempunyai kualiti untuk meningkatkan keupayaan barisan serangan skuad Sang Kenari.

Bagi sebahagian besar pengikut setia KDA FC, rekrut terbaik boleh dilakukan pihak pengurusan adalah dengan membawa masuk bekas perancang pasukan, Mahmoud Al-Mardi.

Kehadirannya pada pertengahan musim 2022 menyaksikan perubahan ketara dengan kebolehannya untuk melakukan hantaran dan umpanan terus diberikan pujian.

Selain itu, derianya yang tajam di hadapan pintu gol lawan juga memukau seperti ketika dia mencatatkan hatrik dalam saingan Piala AFC menentang Visakha FC.

Namun, dengan perbezaan dari segi taktikal, pihak kejurulatihan KDA FC ketika ini memilih untuk tidak menyambung kontrak pemain berkenaan, sekali gus menyaksikannya menyertai kelab yang berpangkalan di Kuwait, Al Qadsia SC.

Baru-baru ini, nama Al-Mardi sekali lagi meniti di bibir penyokong Sang Kenari apabila kontraknya sekali lagi tamat pada penghujung Mei lalu.

Bagaimanapun, pemain yang kini berusia 29 tahun itu akhirnya mengambil keputusan untuk pulang ke negara kelahirannya bagi membolehkannya menyertai Al-Hussein SC.

Penghijrahan itu sedikit sebanyak menutup kisah akan kepulangannya ke arena bola sepak tempatan, yang mana terus memberi kerinduan buat penyokong KDA FC.

Tetapi, dalam satu hantaran daripada Daud Bakar pada Rabu, terdapat satu gambaran yang dirasakan penyokong Hijau Kuning sengaja diberikan usahawan ternama itu.

352537271_920882979005007_6851725328689401356_n

Daud Bakar (kanan) bersama seorang hartawan yang berasal dari Timur Tengah. Facebook/Dr Mohd Daud Bakar - Shariah Minds - Minda Syariah

Menurutnya, kelewatan penerbangan ke Alor Setar, Kedah untuk menyaksikan aksi antara skuad Sang Kenari dengan Perak FC memberikannya masa untuk bertemu seorang individu ternama di Timur Tengah.

"Insya-ALLAH, akan sampai sebelum pukul 7 malam. Lewat satu jam. Kali ini saya bawa tetamu khas dari Kuwait ke Stadium Darul Aman, Kedah. Saya hadiahkan jersey Kedah FC kepada beliau.

"Beliau mempunyai ramai kenalan di kalangan pemilik pasukan bola di Kuwait. Salah satunya adalah Qadsiah, tempat Mahmood al-Mardi bermain baru-baru ini. Beliau adalah seorang pelabur dalam hartanah," katanya.

Meskipun ia tidak menyebut kepulangan pemain antarabangsa Jordan itu dengan jelas, tafsiran orang ramai mengatakan pemilik kelab itu cuba memberikan gambaran mengenai kepulangannya.

Selain boleh beraksi sebagai pemain tengah menyerang, Al-Mardi juga sesuai untuk diberikan peranan sebagai seorang penyerang sayap dengan kelajuannya sungguh bernilai buat mana-mana pasukan.

Dia dijangka akan menyertai pasukan kebangsaan Jordan dalam saingan Piala Asia pada awal tahun depan di samping dua pemain Selangor FC, Yazan al-Arab serta Noor al-Rawabdeh. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram