MEMASUKI separuh musim 2023 Liga Super, pelbagai isu menarik boleh dikupas yang mana pastinya menarik lebih ramai untuk menyaksikan aksi pasukan-pasukan tempatan.
Kecemerlangan Johor Darul Takzim (JDT), peningkatan ketara Sri Pahang serta aksi konsisten daripada Selangor FC kerap diberikan perhatian ramai.
Tidak lupa juga, isu yang menyelubungi beberapa pasukan bawahan juga kerap menghiasi dada akhbar sehingga memberi impak negatif terhadap reputasi bola sepak tanah air.
Namun, apa yang boleh dikatakan sebagai salah satu topik menarik untuk dibincangkan mengenai Liga Super setakat ini adalah mengenai kualiti pemain.
Kehadiran import-import berkualiti sedikit sebanyak menyekat bakat-bakat tempatan agar terus berkembang meskipun ada yang masih berjaya mencipta nama masing-masing.
Selain itu, kemunculan bakat-bakat muda juga sering menjadi topik perbualan hangat dengan ada yang berasakan masa depan bola sepak tanah air berada di tangan mereka.
Bagaimanapun, bagi peminat fanatik, kebangkitan pemain-pemain yang dianggap gagal memberikan impak pada musim lalu adalah sesuatu yang lebih menarik untuk diperkatakan.
Sumbangan yang diberikan mereka setakat 13 perlawanan Liga Super serta beberapa aksi Piala FA seperti merupakan hasil atas kesungguhan sepanjang tempoh pramusim lalu.
Jika dilihat kepada situasi ketika ini, terdapat tiga nama yang menjadi watak utama buat pasukan tersendiri selepas khidmat masing-masing dipersoalkan pada musim 2022.
1. Jordan Mintah (Terengganu)
Selepas menamatkan saingan Liga Super musim lalu di tangga kedua, Terengganu FC terpaksa menelan realiti pahit apabila mereka terpaksa melakukan rombakan besar-besaran.
Pemergian ketua jurulatih, Nafuzi Zain merupakan titik permulaan bagi perubahan berkenaan dengan beberapa tonggak lain turut bertindak sedemikian.
Antara yang mengambil langkah sedemikian adalah duo penyerang import, Kipre Tchetche dan Kpah Sherman dengan masing-masing memikul tanggungjawab yang berbeza.
Jadi, bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan itu, Terengganu FC memilih untuk membawa masuk dua penyerang, Adisak Kraisorn dan Ivan Mamut.
Mintah tampil dengan gaya tersendiri musim ini. — Facebook/Terengganu FC
Namun, sehingga kini, kedua-dua mereka masih gagal membuktikan kebolehan masing-masing dengan pulangan mereka di hadapan pintu gol masih belum boleh dikatakan prolifik.
Tetapi, penyokong Sang Penyu masih boleh menarik nafas lega apabila mereka memiliki pemain kelahiran Ghana, Jordan Mintah yang tampil sebagai wira tak didendang musim ini.
Lima gol yang dijaringkan meletakkannya di samping penjaring terbanyak Liga Super dengan beberapa daripada jaringannya menyumbang mata penting buat kelab Pantai Timur itu.
Lebih membanggakan lagi, catatan yang direkodkan tersebut menyaksikan dia sudah mengatasi pencapaian musim lalu ketika dia bersama Terengganu FC dan Kuala Lumpur (KL) City FC secara pinjaman.
Selain itu, dua gol yang disumbangkan dalam saingan Piala FA turut membantu skuad Sang Penyu mara ke peringkat separuh akhir buat musim kedua berturut-turut.
2. Kpah Sherman (Sri Pahang FC)
Seperti yang dikatakan awal tadi, beberapa pemain memilih untuk meninggalkan Terengganu FC akibat perubahan dari segi kejurulatihan.
Penyerang antarabangsa Liberia, Kpah Sherman merupakan salah seorang daripadanya kerana kehadirannya kurang diberi perhatian pihak kejurulatihan Sang Penyu musim lalu.
Jadi, dengan usianya baru sahaja mencecah 31 tahun, dia mengambil keputusan untuk menyertai seteru Pantai Timur, Sri Pahang FC yang mana bukanlah sebuah pencabar kepada takhta Liga Super 2022.
Bagaimanapun, kehadirannya merupakan salah satu faktor di sebalik peningkatan mendadak skuad Tok Gajah musim ini yang berada di tangga ketiga selepas 13 perlawanan.
Kehadiran Kpah semakin ditagih skuad Tok Gajah musim ini. — Facebook/Sri Pahang FC
Enam gol yang dijaringkannya dalam saingan Liga Super meletakkannya sebagai salah seorang calon terbaik untuk anugerah Kasut Emas 2023.
Selain itu, nama penyerang berusia 31 tahun itu semestinya cukup mekar dalam hati penyokong Sri Pahang FC memandangkan dia kini memikul tanggungjawab berat sebagai penyerang tunggal Tok Gajah.
Jika hendak dibandingkan dengan musim lalu, Kpah hanya berjaya mencetak enam jaringan peribadi selepas 14 penampilan Liga Super.
Meskipun dia tampil sebagai pemenang Kasut Emas Piala Malaysia 2022, ia masih belum berjaya meletakkan dirinya sebagai antara watak utama Terengganu FC.
Tetapi, dengan sumbangan serta kehadirannya terus dinanti-nantikan penyokong Sri Pahang, perkara tersebut pasti menjadi satu suntikan semangat buatnya.
3. Nik Akif Syahiran (Penang FC)
Selepas mencuri nama bersama Kelantan FC, Nik Akif Syahiran Nik Mat memilih untuk menyertai Terengganu FC pada 2021 yang cukup dikenali dalam mengembangkan bakat-bakat muda.
Namun, langkah tersebut tidak dianggap sebagai sesuatu yang cukup bermakna buatnya apabila dia hanya diletakkan dalam skuad simpanan.
Dia kemudiannya memilih untuk berkelana ke Kelantan United secara pinjaman, namun masih belum diberikan kepercayaan penuh meskipun mempunyai bakat tersendiri.
Tetapi, musim ini, nama pemain sayap berusia 24 tahun itu sekali lagi menjadi bahan bualan ramai selepas menjadi antara watak utama buat Penang FC.
13 penampilan Liga Super dengan lapan daripadanya hadir sejak awal permainan membuktikan bahawa Nik Akif sudah semakin matang dalam arena bola sepak tanah air.
Nik Akif tampil sebagai antara watak penting skuad Harimau Kumbang musim ini. — Facebook/Penang FC
Peluang berkenaan juga diambil dengan sebaik-baiknya apabila dia kini sudah menjaringkan dua gol dan dua bantuan jaringan buat skuad Harimau Kumbang yang sedikit bergelut.
Walaupun sesetengah pihak mengatakan statistik berkenaan masih belum menunjukkan bakatnya secara keseluruhan, minit-minit permainannya dalam Liga Super memberi pendedahan bermakna demi perkembangan kariernya.
Persoalannya, apakah masa depan buat pemain bertubuh kecil itu memandangkan tempatnya bersama Terengganu FC dilihat sedikit malap pada tahun-tahun akan datang.
Bagaimanapun, dengan bakat yang dimilikinya, pasukan Pantai Timur tersebut pasti tidak akan membiarkannya pergi dengan mudah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram