Selepas sambar adik Aqil, JDT pantas buat kerja rekrut 2 bintang cilik baharu


  • Podium
  • Rabu, 07 Jun 2023

Hakimi dan Wawan antara rekrut terbaharu Akademi JDT.

JOHOR Darul Takzim (JDT) yang kita kenal hari ini merupakan sebuah pasukan yang paling lengkap dari semua aspek dalam persaingan Liga Malaysia (Liga M).

Pemodenan yang sedang berlaku dalam kancah bola sepak negara ini harus dikreditkan kepada JDT sebagai penyumbang terbesar dalam proses peralihan Liga M.

Pasukan gergasi Selatan tanah air itu merupakan satu-satunya pasukan dari Asia Tenggara yang menjuarai Piala AFC pada 2015 sekali gus melonjakkan nama JDT di rantau ini.

Bukan sahaja kejayaan di dalam padang menjadi ukuran, malah kejayaan di luar padang turut menjadi fokus utama JDT selaku perintis bola sepak moden di dalam negara ini.

Daripada pusat latihan bertaraf lima bintang sehinggalah stadium yang dinobatkan sebagai 'Stadium Of The Year 2020' oleh portal StadiumDB.com berpangkalan di Poland.

Akademi JDT

Antara aksi pemain-pemain cilik Akademi JDT. Facebook/JDT

Bercakap tentang kejayaan luar padang, JDT merupakan satu-satunya pasukan yang memiliki akademi sendiri untuk mencungkil bakat-bakat bintang cilik.

Sebelum ini JDT menggemparkan komuniti bola sepak di negara ini apabila menyambar Muhammad Aqil Mohd Shamsul Aswadi yang berumur 13 tahun dari Terengganu.

Muhammad Aqil sebelum ini tular di media sosial yang dilihat cukup tenang dalam melakukan hantaran serta mengawal bola dalam satu perlawanan menentang pemain lebih berusia.

Namun pada Selasa, JDT sekali lagi pantas menyambar dua bintang cilik yang dikenali sebagai Mohamad Hakimi dan Wawan.

WhatsApp Image 2023-06-07 at 11.51.22 AM

Hakimi (kiri) dan Wawan (kanan) bersama jurulatih Akademi JDT. Facebook/Junior Best Football Club

Menerusi gambar yang dimuat naik oleh laman Facebook Junior Best Football Club - Mersing dua bintang cilik itu terpilih untuk menyertai Akademi JDT.

Akademi JDT adalah satu-satunya akademi kelab bola sepak profesional sepenuh masa yang menawarkan latihan bola sepak, pendidikan dan penginapan.

JDT membuktikan mereka antara pasukan terbaik dalam negara yang tidak mensia-siakan bakat pemain-pemain muda.

Akademi JDT melahirkan banyak pemain-pemain berkualiti iaitu Arif Aiman Hanapi, Ramadhan Saifullah dan Feroz Baharudin ramai lagi yang sudah mula mendapat peluang bersama skuad utama Harimau Selatan.

Untuk rekod Akademi JDT juga menjadi akademi bola sepak pertama di Malaysia dianugerahkan Ahli Emas Piagam SupaRimau yang diperkenalkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam usaha memperkasakan program akar umbi bola sepak. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram