SEMUA orang mungkin ada impian untuk mempunyai sebuah kelab bola sepak dan menguruskannya sehingga berjaya mencapai satu tahap yang tertinggi dalam landskap bola sepak Malaysia.
Banyak pasukan komuniti atau lebih dikenali sebagai amatur telah membuktikan kemampuan mereka untuk bersaing di tahap tertinggi bola sepak Malaysia meskipun perlu bermula dari bawah.
Antaranya, FC Jerantut iaitu salah sebuah pasukan amatur yang sedang membuktikan diri mereka bakal menjadi salah sebuah kelab komuniti yang mampu bersaing dalam sistem liga bola sepak Malaysia.
Pasukan yang berpengkalan di Jerantut, Pahang ini mempunyai perancangan tersendiri untuk meletakkan mereka dalam kalangan kelab-kelab gergasi dalam Liga Malaysia.
Untuk rekod, FC Jerantut baru sahaja memenangi Empire Booster League (EBL) baru-baru ini yang mana liga tersebut menawarkan slot untuk ke pusingan kelayakkan Selangor Champions League (SCL) yang dikelola oleh Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS).
Jersi rasmi FC Jerantut untuk musim 2023. — Instagram
Pengarah Teknikal FC Jerantut, Safiuddin Shaifuddin, 35, berkongsi perjalanan pasukan serta hala tuju kelab yang berpengkalan di Jerantut itu.
Safiuddin berkata, tujuan utama FC Jerantut menyertai Liga EBL ialah kerana mahu menyertai SCL selepas mereka terlepas slot itu pada tahun lepas.
"EBL adalah liga sosial yang menawarkan slot untuk play-off SCL, selepas menjadi juara Subang Football League pada tahun lepas, FC Jerantut tidak berpeluang untuk ke slot play-off SCL atas faktor teknikal dan persiapan iaitu tidak dapat melengkapkan pendaftaran kelab dalam sistem e-ROSA.
"Jadi FC Jerantut mengintai kembali peluang untuk kembali mendapat slot SCL dengan menyertai EBL.
"Cabaran utama FC Jerantut dalam EBL adalah logistik dan semestinya kos, kerana FC Jerantut perlu travel setiap perlawanan, logistik serta pengangkutan selain perbelanjaan lain.
"Ia begitu menguji pasukan pengurusan untuk kekal membolehkan pasukan dan pemain berada pada tahap terbaik di setiap perlawanan.
"Kos setiap perlawanan adalah diantara RM1,000 ke RM1,300 bergantung pada jumlah pemain yang dibawa pada setiap perlawanan," katanya pada Majoriti.
FC Jerantut menjuarai EBL baru-baru ini. — Instagram
Safiuddin sempat berkongsi rahsia kejayaan FC Jerantut menjadi juara EBL ialah kerana tiada seorang pun yang mengganggap diri lebih besar dari kelab.
Kunci kejayaan FC Jerantut ialah sikap kekeluargaan antara satu sama lain untuk memupuk rasa semangat dan mentaliti sebagi seorang juara.
FC Jerantut yang ditubuhkan pada 2021 atas dasar menyahut seruan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam penswataan pasukan bakal mengorak langkah baharu untuk menjadi sebuah kelab profesional apabila menyertai Liga Amatur Pahang (PAL) yang diiktiraf oleh Amatur Football League (AFL) dan Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP).
"PAL adalah satu pengalaman baharu untuk pasukan yang mana semestinya bakal menjadi medan untuk pemain lebih menonjolkan bakat mereka.
"Harapan FC Jerantut di PAL, kami dapat menamatkan liga di tangga tiga ke atas atau 'Top 3' bagi melayakkan diri ke Grand Final PAL.
"Di PAL, kos RM10,000 sehingga RM12,000 diperlukan pasukan bagi mengharungi saingan liga," ujarnya.
Senarai pemain FC Jerantut yang akan mengharungi PAL. — Instagram
Di tanya mengenai adakah FC Jerantut bakal mengikut trend pasukan-pasukan amatur membawa masuk bekas pemain Liga Super ke dalam kelab mereka?
"Pihak FC Jerantut tidak berniat untuk mengambil mana-mana bekas pemain Liga Super, namun jika ia bersesuaian dengan perbelanjaan kelab dan memberi manfaat dan pengalaman pada pemain lain dalam FC Jerantut, Insya-ALLAH akan kami pertimbangkan," jelasnya.
Pengarah Teknikal FC Jerantut ini juga mendedahkan proses pemilihan pemain serta hala tuju pasukan itu 10 tahun akan datang.
"Cara pemilihan pemain berdasarkan 'open selection' kemudian dinilai dalam sesi latihan sebelum benar-benar diserapkan dalam pasukan.
"Pasukan kelab M3 seperti Real Chukai, Kelab Liga Super Kuala Lumpur FC, Emzee FC, PKNP FC dan Skuad Belia Kuala Lumpur pernah mendapatkan khidmat pemain Jerantut.
"Harapan saya, 10 tahun yang akan datang FC Jerantut adalah di antara kelab komuniti yang boleh bersaing di platform yang paling tinggi dalam saingan bola sepak di Malaysia," luahnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram