'Where are they now?', imbas kesebelasan utama KDA FC yang kali terakhir menang Piala Malaysia 2016


  • Podium
  • Sabtu, 03 Jun 2023

Skuad Kedah yang memenangi Piala Malaysia 2016. — Facebook

MUSIM ini Kedah Darul Aman FC (KDA FC) antara pasukan yang perlu diberi perhatian oleh peminat bola sepak tempatan apabila mereka mendatangkan Nafuzi Zain untuk membina sebuah pasukan yang digeruni.

Nafuzi yang hadir ke skuad Hijau Kuning dengan reputasi yang sangat besar mempunyai misi tersendiri untuk mengembalikan zaman kegemilangan yang pernah diraih oleh gergasi utara itu.

Dalam menjadikan impian itu sebagai kenyataan, pihak pengurusan KDA FC mendatangkan sebanyak lapan pemain import antaranya ialah Jonathan Balotelli, Willian Lira, Manuel Hidalgo, Manuel Ott, Amirbek Dzhuraboev, Alan Robertson dan Bojan Ciger.

Setakat ini persembahan taktikal 'Nafuzi Ball' masih belum menunjukkan hasil apabila Kedah gagal mara ke pusingan ke-16 Piala FA apabila tewas dengan pasukan Penang FC melalui sepakan penalti.

Manakala dalam Liga Super, persembahan skuad Hijau Kuning tidak begitu baik apabila sekadar mengutip 22 mata dengan tujuh kemenangan, satu seri dan empat kekalahan.

Kali terakhir Kedah menjulang piala domestik ialah Piala FA 2019 yang mana ketika itu di bawah kendalian Aidil Sharin apabila mereka menang dengan keputusan 1-0 menentang Perak FC hasil jaringan Fadzrul Danel di masa kecederaaan.

Namun selain Piala FA, Piala Malaysia antara kejohanan yang sudah lama tidak dijulang oleh Sang Kenari iaitu kali terakhir pada 2016 di bawah kendalian Tan Cheng Hoe selepas menang melalui sepakan penalti.

Musim ini hanya Piala Malaysia menjadi harapan penyokong Kedah untuk mengulangi kejayaan yang pernah dicipta tujuh tahun lalu oleh anak-anak buah Cheng Hoe.

Majoriti senaraikan 11 pemain pilihan utama Cheng Hoe yang beraksi menentang Selangor pada pentas akhir final Piala Malaysia 2016 di Stadium Shah Alam, Selangor pada 2016:

Ifwat masih kekal bersama Kedah sehingga ini. Facebook

1. Ifwat Akmal (Penjaga Gol)

Ifwat Akmal yang berusia 27 tahun merupakan antara penjaga gol yang memenangi Piala Malaysia di usia muda.

Ketika itu Ifwat yang baru berusia 20 tahun merupakan tonggak utama pasukan Kedah untuk menjadi benteng terakhir skuad Hijau Kuning.

Kecemerlangan Ifwat menjaga gawang gol Kedah mengenepikan penjaga gol senior, Abdul Hadi Hamid ke bangku simpanan untuk bermain di pentas akhir.

Ifwat menjadi hero pasukan Kedah selepas menepis bola Azmi Muslim dan menggagalkan rembatan Rizal Fahmi untuk memenangi Piala Malaysia 2016.

Ketika ini Ifwat masih bersama Kedah Darul Aman namun lebih banyak menghabiskan masa di bangku simpanan.

Syawal Nordin

Syawal ketika bersama Lang Merah ketika skuad itu memenangi Piala Malaysia. Facebook

2. Syawal Nordin (Pertahanan Tengah)

Syawal Nordin antara pertahanan tengah terbaik yang akan diingati penyokong-penyokong Hijau Kuning selepas gandingannya bersama pemain import, Bang Seung-hwan membuatkan peminat jatuh hati dengan persembahan mereka berdua.

Kini tidak dapat dipastikan Syawal mewakili pasukan mana, namun menurut laman sesawang Transfermarkt, kali terakhir pemain berusia 30 tahun itu bermain untuk Langkawi City.

Seung-hwan beraksi bersama Kedah selama dua musim. Agensi

3. Bang Seung-hwan (Pertahanan Tengah)

Mula menyertai Kedah daripada kelab Thailand, Air Force FC, Seung-hwan tidak menunggu lama untuk menambat hati penyokong Sang Kenari apabila dia mewakili kelab gergasi utara itu selama dua musim.

Seung-hwan boleh dilabelkan sebagai pemain import pertahanan terbaik yang pernah pasukan Kedah miliki kerana corak permainannya semasa menjadi 'last man' Sang Kenari.

Kini pemain import kelahiran Korea Selatan itu sudah bersara daripada bola sepak selepas kali terakhir beraksi untuk Songwol FC pada 2020.

Azmeer bersara daripada dunia bola sepak pada 2020. Facebook

4. Azmeer Yusof (Pertahanan Kiri)

Dikenali dengan corak permainan yang agresif, Azmeer Yusof meninggalkan Kedah selepas memenangi Piala Malaysia sebelum menyertai semula pada 2019.

Azmeer antara pertahanan yang banyak pengalaman dalam Liga Malaysia selepas mewakili beberapa pasukan di negara ini antaranya Kuala Lumpur City, Perak FC, DRB-Hicom FC, ATM FC, Negeri Sembilan dan terbaharu Harini FT.

Sebelum ini Azmeer memutuskan untuk bersara daripada dunia bola sepak pada 2020 sebelum kembali menyertai pasukan-pasukan Liga M3 pada 2021.

Rizal dinobatkan sebagai 'MOTM' Piala Malaysia 2016. Facebook

5. Rizal Ghazali (Pertahanan Kanan)

Hero pasukan Kedah dalam Piala Malaysia 2016, Rizal antara individu yang menjaringkan gol penalti kemenangan buat Sang Kenari.

Pemain berusia 30 tahun itu juga menjaringkan gol semasa perlawanan akhir yang mengikat pasukan Selangor sehingga penentuan penalti.

Musim lepas Rizal meninggalkan Kedah untuk menyertai Sabah FC untuk bersama Datuk Ong Kim Swee.

Pencapaian terbaik Liridon dalam Liga Malaysia apabila dinobatkan sebagai Pemain Import Terbaik pada 2017. Facebook

6. Liridon Krasniqi (Pemain Tengah)

Ketika zaman ini, Liridon Krasniqi berada di tahap terbaik sehingga mendapat perhatian seluruh penyokong bola sepak negara ini.

Liridon yang menggelarkan dirinya sebagai legenda pasukan Kedah meninggalkan Hijau Kuning pada 2019 untuk menyertai Melaka United.

Musim ini, Liridon dipinjamkan oleh Johor Darul Takzim (JDT) ke Terengganu FC selepas pulang dari kelab Thailand, Khon Kaen United.

Pencapian terbaik Liridon dalam Liga Malaysia apabila dinobatkan sebagai Pemain Import Terbaik dan Pemain Paling Popular pada 2017.

Baddrol menjadi antara tonggak penting ketika beraksi dengan skuad Lang Merah. Facebook

7. Baddrol Bakhtiar (Pemain Tengah)

Legenda Kedah, Baddrol Bakhtiar antara jantung pasukan Sang Kenari sejak 2006 sehinggalah 2021 apabila dia membuat keputusan untuk meninggalkan Hijau Kuning.

Berusia 35 tahun, Baddrol masih menjadi pilihan Kim Swee untuk mengemudi barisan tengah pasukan Sabah.

Baddrol mempunyai teknik hantaran dan sepakan percuma yang baik sehingga sering menghadiahkan gol buat pasukan yang diwakilinya.

Musim ini, Baddrol melakukan sembilan penampilan dan berjaya menjaringkan tiga gol serta dua 'assist' buat pasukan Kedah.

Amirul masih setia bersama Kedah musim ini. Facebook

8. Amirul Hisyam (Pemain Tengah)

Menyertai Kedah selepas dilepaskan daripada pasukan Harimau Muda B, Amirul Hisyam antara pemain yang berjaya membuat kejutan kerana menjadi kesebelasan utama Sang Kenari.

Musim ini, Amirul masih setia bersama Kedah dan mula mendapat kepercayaan Nafuzi Zain untuk diturunkan dalam kesebelasan utama Sang Kenari.

Syazwan musim ini beraksi bersama Kelantan United. Facebook

9. Syazwan Zainon (Pemain Tengah)

Individu bertubuh kecil ini antara pemain sayap yang menjadi kesayangan Sang Kenari apabila beraksi selama enam tahun bersama Kedah sebelum menyertai semula pada 2021.

Syazwan musim ini beraksi bersama Kelantan United selepas dilepaskan oleh Kedah dan berjaya menjaringkan satu gol serta satu 'assist' dalam lapan perlawanan.

Khabar angin mengatakan Kedah berminat untuk mendapatkan Thiago. Agensi

10. Thiago Agusto (Penyerang)

Walaupun hanya dipinjamkan daripada Felda United pada 2016, Thiago Agusto tampil cemerlang bersama Kedah sehingga berjaya membantu Sang Kenari menang Piala Malaysia 2016.

Selepas daripada itu, kelibat Thiago tidak kelihatan lagi oleh penyokong Kedah walaupun terdapat khabar angin mengatakan pihak pengurusan berminat untuk membawanya ke dalam pasukan.

Musim ini, Thiago menyertai Hidd SCC selepas meninggalkan Al-Bataeh CSC di Liga United Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Shane hanya bertahan selama satu musim bersama Kedah. Agensi

11. Shane Smeltz (Penyerang)

Bekas penyerang New Zealand, Shane Smeltz antara individu yang mempunyai status sebagai pemain kebangsaan apabila menjadi tonggak utama skuad negara kelahirannya.

Shane hanya bertahan selama satu musim bersama Kedah sebelum kembali ke Australia untuk menyertai Wellington Phoenix.

Penyerang berusia 41 tahun itu pernah mengumumkan berehat daripada bola sepak pada 2020 sebelum kembali beraksi pada 2021 dengan mewakili pasukan Gold Coast United.

Pada 2023, Shane menyertai sebuah pasukan amatur di England iaitu Guiseley yang beraksi di liga bawahan negara itu. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram