Boleh 'move on' dengan Cifu, Perak dan Kedah wajar ambil khidmat pemain ejen bintang JDT


  • Podium
  • Rabu, 07 Jun 2023

Selepas meninggalkan Melaka United pada musim lepas, Oti (kiri) kini berstatus ejen bebas. — Instagram/Oti

TEKA-TEKI mengenai destinasi Miguel Cifuentes setelah mengucapkan selamat tinggal kepada Kelantan FC akhirnya terjawab apabila Sabah FC mengumumkan ketibaannya sebagai pemain baharu The Rhinos pada Selasa.

Menerusi perkongsian dari laman Facebook rasmi skuad The Rhinos, Cifuentes ataupun lebih mesra dengan panggilan Cifu akan mengisi kekosongan kuota import yang ditinggalkan oleh bekas penyerang, Jacob Njoku.

Pengumuman ketibaan pemain berusia 32 tahun itu ke kelab berpangkalan di Borneo tersebut secara tidak langsung menimbulkan perasaan cemburu beberapa kelab yang turut berebut ingin mendapatkan khidmatnya seperti Perak FC dan Kedah Darul Aman (KDA) FC.

Mana tidaknya, bekas tonggak Malaga FC itu membuktikan kelasnya tersendiri dengan tampil sebagai pemain penuh versatail berikutan mampu membantu jentera serangan, malah dipercayai akan menambah kekuatan pada bahagian tengah Sabah FC.

WhatsApp Image 2023-06-07 at 00.37.22

Poster pengumuman Cifu sebagai pemain baharu Sabah FC.

Pemain yang pernah menabur khidmat dalam saingan La Liga itu menjadi antara watak utama The Red Warrios (TRW) musim ini dengan merekodkan empat gol dan dua bantuan gol dalam 15 penampilan bagi semua kejohanan termasuk peringkat suku akhir Piala FA 2023.

Dengan persembahan gred A Cifu sepanjang bersama TRW, tidak hairanlah jika sebahagian pengikut skuad The Bos Gaurus (TBG) dan Sang Kenari masih meratapi keputusan import Sepanyol itu memilih Sabah FC.

Namun masa tidak boleh diundur dan keputusan Cifu kekal sama, cara lain agar dua pasukan berkenaan untuk melupakan kepakaran bekas tonggak UD Ibiza itu ialah dengan mencari calon lain yang mempunyai kualiti seperti pemain baharu Sabah FC itu.

Bekas tonggak Melaka United, Emmanuel Oti merupakan jawapan kepada kebuntuan dua pasukan berpangkalan di Utara tanah air itu berikutan kini pemain berusia 26 tahun tersebut masih berstatus ejen bebas.

WhatsApp Image 2023-06-07 at 00.37.24

Oti ketika menyarung jersi Melaka United pada musim lepas. — Instagram/Oti

Oti meninggalkan pasukan yang kini beraksi di saingan Liga M3 itu lebih awal daripada perjanjian kontraknya susulan tidak tahan dengan masalah gaji pasukan Melaka United pada musim lalu.

Walaupun hanya tampil dalam dalam 12 perlawanan termasuk saingan Piala FA namun import dari Ghana itu sempat menunjukkan taringnya dan ketajamannya di hadapan gawang lawan apabila merekodkan lima jaringan gol untuk skuad Hang Tuah.

Urusan untuk Perak FC dan skuad Hijau Kuning mendapatkan khidmatnya juga mungkin mudah apabila difahamkan pemain sayap kiri itu bernaung di bawah ejen terkenal tanah air iaitu Francisco Insa Bohigues atau digelar sebagai Kiko Insa.

Kiko Insa dikenali sebagai ejen yang sering membawa pemain berkualiti kepada kelab Liga Malaysia dan antaranya ialah Carli De Murga (bekas import Kelantan FC), Liridon Krasniqi (pemain Terengganu FC), Mario Arques (import TRW), Shane Lowry (Johor Darul Takzim) dan Levy Madinda (Negeri Sembilan FC). Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram