[VIDEO] Pecah rekod, Malaysia bolot 3 pingat acara Lompat Jauh T20


  • Podium
  • Selasa, 06 Jun 2023

Barisan pemenang acara lompat jauh negara.

SKUAD altet para Malaysia memberikan kejutan menerusi acara Lompat Jauh Lelaki T20 Akhir apabila membolot ketiga-tiga pingat utama iaitu emas, perak dan gangsa pada hari keempat temasya Sukan Para ASEAN (APG) 2023 di Kemboja.

Hasil kerja keras atlet 'istimewa' membolehkan kontinjen negara melakar kejayaan yang baik setakat ini dalam kejohanan itu.

Zulkifli Abdullah berjaya merangkul pingat emas dengan merekodkan keputusan 6.72 meter.

Manakala, pingat perak disandang oleh Eljoe Gutuoh dengan mencatatkan 6.65 meter.

Nik Muhamad Rahmat berjaya memperolehi tempat ketiga dengan catatan 6.47 meter.

Rata-rata rakyat Malaysia mengucapkan tahniah atas pencapaian yang membanggakan itu.

"Congratulatios! It was a great result for Malaysia! keep it up," kata Azul Bin Abu.

"Tahniah!! Jarang berlaku kesemua pingat dibolot atlet kita," kata Kuba Lusat KL.

"Sapu habis, nice one Malaysia," kata Ahmad Danial.

Malaysia kini menduduki tangga keempat carta pungutan pingat selepas mengumpul 23 emas, 17 perak dan 13 gangsa setakat pagi Selasa.

Kontinjen negara menyasarkan 33 pingat emas, 51 perak dan 58 gangsa pada temasya yang berlangsung bermula 3 hingga 9 Jun ini.

Sebelum ini, Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin berkata, sasaran pingat emas yang lebih rendah berbanding pencapaian di Solo, Indonesia tahun lepas, iaitu 36 emas, 20 perak dan 13 gangsa itu adalah realistik, selepas tiga jaguh negara tidak menyertai temasya dwitahunan itu.

Tiga atlet tersebut ialah pemenang pingat emas Sukan Paralimpik iaitu Datuk Mohd Latif Romly (lompat jauh), Muhammad Ziyad Zolkefli (lontar peluru) dan jaguh badminton para Cheah Liek Hou. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram