Bintang muda Vietnam berstatus ejen bebas wajar disambar 3 gergasi Liga M


  • Podium
  • Selasa, 06 Jun 2023

Sekitar aksi pemain Gergasi Merah yang tewas di tangan PDRM FC. — Facebook/ Selangor FC

KHABAR gembira buat pasukan yang mengalami kebocoran bahagian tengah perlu mengambil peluang untuk menyambar bintang skuad kebangsaan Vietnam, Nguyen Quang Hai pada jendela perpindahan Julai nanti.

Ini kerana, Quang Hai dikhabarkan telah menamatkan kontraknya bersama kelab Pau FC dalam saingan Liga 2 setahun lebih awal dan akan kembali beraksi bersama skuad kebangsaannya.

Selain itu, pemain sayap versatile itu difahamkan berstatus sebagai ejen bebas sebelum kembali beraksi bersama pasukan tanah airnya.

quang hai

Bintang muda Vietnam, Nguyen Quang Hai. — Instagram/ nguyenquanghai12041997

Menjelang jendela perpindahan pada Julai nanti,pastinya akan memberikan kelebihan kepada kelab yang memerlukan khidmat penyerang tengah bagi mempertajamkan jentera serangan.

Oleh itu, terdapat tiga pasukan yang pastinya memerlukan khidmat pemain kelahiran Vietnam itu sebagai penyudah dalam saingan Liga Super 2023.

Walaupun hanya tewas tiga kali dalam saingan Liga Super, namun, prestasi Selangor FC nampaknya masih memerlukan penyudah untuk membantu pasukan tersebut melakar kemenangan dalam setiap perlawanan.

Pusingan kedua perlawanan liga nampaknya memberikan tekanan kepada semua pasukan untuk mencetak gol namun dengan kemunculan pemain berketinggian 1.68 meter pasti lebih memudahkan meledak jaringan.

Bukan sahaja Gergasi Merah, malah, pasukan Sabah FC turut terkesan dengan ketumpulan penyudah kelab tersebut yang tidak dapat mencetak jaringan malah ditundukkan oleh Kedah Darul Aman FC (KDA FC) baru-baru ini dalam perlawanan ke-13 Liga Super.

Di samping itu, Perak FC juga tidak ketinggalan kerana mengalami bahagian tengah yang kurang memuaskan apabila sering dibelasah oleh pihak lawan dan hanya menduduki tangga ke-11 dalam saingan Liga Super ketika ini.

Sekiranya tiga kelab tersebut tidak mengambil peluang untuk mendatangkan pemain berusia 26 tahun itu, tidak mustahil akan disambar oleh kelab gergasi iaitu Johor Darul Takzim (JDT).

Untuk rekod, Quang Hai sudah menjaringkan 10 gol dalam 52 penampilannya bersama skuad kebangsaan Vietnam, termasuk beberapa daripadanya muncul dalam kejohanan Piala AFF. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram