SEJAK kebelakangan ini, isu membabitkan pasukan Kelantan FC semakin hangat diperkatakan orang ramai selepas tular audio dipercayai suara pemilik The Red Warriors (TRW), Norizam Tukiman sedang berbalah dengan salah seorang pemain.
Pergaduhan mulut menerusi panggilan telefon itu ternyata mendapat perhatian orang ramai sehingga menimbulkan perasaan marah penyokong bola sepak negara ini.
Sebelum ini, penjaga gol Kelantan FC, Mohd Farhan Abu Bakar membuat laporan ke Persatuan Pemain-Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) mengenai isu tunggakan gaji yang sedang dia hadapi bersama TRW.
Selepas beberapa hari mendiamkan diri, Norizam atau lebih dikenali sebagai Zamsaham pada Jumaat memuat naik satu penjelasan di Facebook berkaitan isu semasa yang sedang hangat diperkatakan orang ramai.
Zamsaham berkata, dia meminta maaf kepada orang ramai kerana memarahi pemain dan sempat menafikan gaji tertunggak selama berbulan-bulan sepanjang bergelar pemilik TRW.
"Saya minta maaf kalau saya marah, tetapi kenpa saya marah pemain-pemain tertentu?
"Tentulah ada sebabnya, kalau tak ada hal, tentu saya diam sahaja.
"Tiga tahun saya pegang (Kelantan), lewat ada tapi tak adalah sampai tiga atau lima bulan biasanya semua dapat pada bulan yang sama," katanya di Facebook.
Zamsaham melawat pemain-pemain TRW pada 31 Mei 2023. — Facebook
Tambahnya lagi, musim ini dia jarang melawat pemain-pemainnya seperti sebelum ini dan kali ini Zamsaham berjanji akan sentiasa turun memantau latihan pasukan.
"Tahun 2020,2021 dan 2022 saya sering hadir, tengok segala serbi.
"Musim 2023 ini saya kurang hadir, tapi hasilnya mungkin lebih baik kalau saya tengok mereka selalu berlatih.
"Insya-ALLAH putaran kedua ini saya akan lebih kerap turun.
"Gambar di bawah adalah saya melawat latihan pasukan dua hari lepas, saya maklumkan kepada pemain saya janji kalau menang, seri atau kalah saya akan bayar gaji 50 peratus yang ditahan.
"Kalau boleh bagilah kemenangan," ujarnya.
Sebelum ini, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengesahkan kepada Majoriti bahawa memo bertarikh 14 Mac yang tular di media sosial berkaitan tunggakan pembayaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) pemain dan pegawai Kelantan FC itu benar.
Memo berkenaan bertujuan memberikan peringatan terakhir kepada Norizam untuk melunaskan baki pembayaran yang tertunggak. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram