BELUM lagi reda dengan masalah dalaman pasukan Kelantan FC yang dilondehkan penjaga gol The Red Warriors (TRW), Mohd Farhan Abu Bakar berkenaan isu tunggakan gaji dengan pengurusan pasukan, timbul lagi satu cerita baharu.
Kini tular pula di media sosial memo bertarikh 14 Mac yang dipercayai dikeluarkan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) berkaitan tunggakan pembayaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) pemain dan pegawai Kelantan FC.
Mengesahkan perkara itu kepada Majoriti, memo berkenaan bertujuan memberikan peringatan terakhir kepada Ketua Pegawai Eksekutif Kelantan FC, Norizam Tukiman untuk melunaskan baki pembayaran yang tertunggak.
Menerusi angka memo tunggakan KWSP dan Perkeso yang dikeluarkan MFL ialah berjumlah RM 435,227.70.
Pasukan Kelantan FC dipercayai mula tidak membayar KWSP pemain dan pegawai mereka sejak Februari hingga Disember 2022 yang mana berjumlah RM 433,220.
Manakala baki tertunggak September hingga November 2022 Perkeso para pemain dan pegawai berjumlah RM2,007.70.
Memo yang dikeluarkan MFL. — Media sosial
Sebelum ini Mohd Farhan menceritakan kejadian sebenar yang berlaku di antara Norizam atau lebih dikenali sebagai Zamsaham dengan bekas Ketua Jurulatih Kelantan FC, Choi Moon-sik.
Sementara itu, MFL memaklumkan pihaknya akan membuat kenyataan rasmi berhubung status pembayaran terkini caruman pasukan Kelantan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram