[VIDEO] Teruja tewaskan seteru setempat, penyokong kelab Argentina buat kecoh bakar suar, baling mercun dalam padang


  • Podium
  • Isnin, 05 Jun 2023

Tangkap layar memaparkan asap daripada suar menyelubungi Stadium Juan Bautista Gargantini, Argentina.

GARA-GARA terlalu ghairah untuk menyambut kemenangan, penyokong kelab divisyen bawahan Argentina, Independente Rivadiva bertindak membakar suar sebelum wisel penamat ditiup.

Dalam aksi yang berlangsung di Stadium Juan Bautista Gargantini, Mendoza, Argentina pada Ahad, aksi antara kelab berkenaan dengan seteru setempat, Deportivo Maipu terpaksa ditangguhkan sementara sebelum keputusan berpihak kepada tuan rumah dengan kemenangan tipis 2-1.

Ini kerana penyokong kedua-dua pasukan bertindak liar dengan membakar suar dan bunga api selain dilemparkan ke dalam padang.

Situasi tersebut berlaku apabila mereka sudah mendahului memasuki masa kecederaan perlawanan selepas jaringan Juan Manuel Elordi dan Alex Adrian meletakkan Independente Rivadiva di hadapan.

Penyokong kedua-dua pasukan bertindak membakar suar dan mercun dalam aksi hangat tersebut.

Bagaimanapun, perlawanan tersebut menjadi hangat selepas pemain Deportivo Maipu merapatkan jurang menerusi Marcelo Eggel pada minit ke-86.

Gol tersebut membingitkan lagi suasana di dalam stadium berkapasiti 24,000 orang itu selepas kedua-dua pasukan terpaksa beraksi dengan 10 pemain apabila pengadil memberikan dua layangan kad merah.

Kemenangan yang berpihak kepada tuan rumah itu meletakkan di tangga pertama Kumpulan B divisyen kedua Argentina, namun kekecohan berlaku apabila sambutan dibuat terlalu awal.

Memasuki minit-minit terakhir masa tambahan, penyokong Independente Rivadiva meluahkan rasa teruja mereka dengan membakar mercun yang diseludup masuk.

Ia bagaimanapun tidak diendahkan pemain di atas padang apabila pasukan pelawat memberi tumpuan untuk menjaringkan gol penyamaan.

Namun, situasi tersebut tidak menyebabkan apa-apa kecederaan serius berdasarkan laporan media tempatan, sekali gus mengesahkan 'kegilaan' bola sepak di Amerika Selatan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram