SEPUPU kepada Alexis Mac Allister, Luciano Guaycochea memberikan petunjuk besar bahawa pemain tengah Brighton akan menyertai Liverpool pada jendela perpindahan musim panas ini.
Perbincangan berjalan lancar antara kedua-dua kelab dengan The Reds sedang berusaha untuk mengukuhkan bahagian tengah mereka dengan merekrut pemenang Piala Dunia itu semasa jendela perpindahan.
Mac Allister yang berhati-hati untuk tidak mengulas mengenai masa depannya untuk menjaga hati penyokong skuad Seagulls akhirnya terbongkar apabila sepupunya itu memberi bayangan mengenai hala tuju pemain berusia 24 tahun itu.
Kapten Perak FC, Guaycochea yang tujuh tahun lebih tua daripada Mac Allister itu mendedahkan mengenai masa depan sepupunya itu dalam satu temu bual bersama Astro Arena.
“Saya tidak boleh menyatakan di mana dia akan bermain, tetapi saya rasa semua orang tahu ia hampir dengan Liverpool.
“Ia adalah pasukan yang besar. Ke mana sahaja dia pergi, saya harap dia boleh bermain dengan baik,” katanya ketika wartawan bertanya mengenai masa depan pemain Brighton itu.
Guaycochea (tengah) memberitahu sepupunya itu akan menyarung jersi Liverpool pada musim depan. — Facebook/PerakFC
Sementara itu, ketika temu bual bersama saluran berita Argentina yang berpangkalan di Miami, Infobae, Mac Allister sempat mengulas khabar angin perpindahannya ke Anfield.
Menurut pemain kebangsaan Argentina itu, dia tidak menolak idea untuk berhijrah ke pasukan lain jika mendapat tawaran yang lebih baik buat dirinya.
"Saya juga mempunyai kemungkinan berada dalam sebuah kelab seperti Brighton yang sentiasa ada untuk saya pada setiap masa dan saya sangat gembira di sana (Brighton).
“Jika saya tidak perlu meninggalkan kelab, saya akan terus berasa sangat gembira di sana, tetapi saya sedar bahawa jika tawaran baik tiba untuk kelab dan bagi saya, kami akan menilainya.
“Saya tidak ragu-ragu bahawa hari ini (Liga Perdana) adalah liga terbaik untuk beraksi dan itulah sebabnya saya sedar bahawa saya ingin kelab saya (Brighton) seterusnya berada di Liga Perdana,” katanya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram