Cuaca akan beri kesan tapi Terengganu juga main suasana sama — Yusri Che Lah


  • Podium
  • Sabtu, 03 Jun 2023

Pemain Perak FC menjalani latihan menjelang perlawanan menentang Terengganu FC pada Sabtu. — Facebook/PerakFootballClub

PERAK FC ketika ini benar-benar memerlukan satu perubahan besar untuk membolehkan kelab itu kembali semula ke landasan kemenangan.

Pemecatan ketua jurulatih skuad The Bos Gaurus, Datuk Lim Teong Kim pada 25 Mei lalu adalah kejutan pertama yang diterima daripada bekas kem juara Piala Malaysia itu.

Jurulatih sementara kelab tersebut, Yusri Che Lah kemudiannya pantas mengatur strategi meletakkan pemain tengah Argentina, Luciano Guaycochea sebagai kapten baharu pasukan.

Pemain berusia 31 tahun itu berbesar hati diberi tanggungjawab berkenaan dan misi utamanya kini adalah untuk memimpin skuad Seladang memperoleh kemenangan, seterusnya memperbaiki kedudukan mereka dalam Liga Super.

“Kami mempunyai jurulatih baharu sekarang, jadi pemain perlu menyesuaikan diri dengan caranya. Mentaliti perlu kuat dan kami mesti kekal sebagai satu pasukan apabila berdepan Terengganu hari ini (Sabtu) di Ipoh.

“Saya harap kita dapat mengubah persembahan untuk peminat. Sebagai kapten, ini adalah satu penghormatan untuk saya memimpin pasukan ini dan saya menghargainya.

“Tetapi kita perlu melakukan ini sebagai satu pasukan. Tidak kira senior atau junior, kita perlu bersama. Jika kita melakukan yang baik di lapangan, itu sudah memadai bagi saya.

“Kami perlu bermain dengan baik dan mendapat keputusan yang terbaik. Kapten atau tidak, tumpuan saya adalah untuk membantu pasukan ini kembali ke arah kemenangan,” kata bekas pemain Deportivo Moron itu.

Luciano dipilih sebagai kapten baharu Perak FC bagi menggantikan Muhammad Hafizal. — Facebook/PerakFootballClub

Sementara itu, Yusri turut berharap agar pemain kendaliannya dapat mempamerkan prestasi yang terbaik ketika menentang skuad Penyu di gelanggang sendiri.

“Saya harap pemain akan melakukan yang terbaik. Saya bukan ahli silap mata yang boleh mencipta sesuatu dengan segera. Saya mahu peminat menyokong anak-anak buah saya dan mahu mereka berasa yakin.

“Kita perlu mendapatkan mata di tempat sendiri. Cuaca panas akan memberi kesan kerana ia adalah perlawanan petang, tetapi Terengganu juga bermain dalam keadaan itu. Saya harap kami dapat menyesuaikan diri dengan cepat,” ujarnya.

Untuk rekod, Perak FC sebelum ini tewas empat kali berturut-turut, bermula menentang Pahang dengan 0-3, Penang FC (1-3), Johor Darul Ta’zim (0-5) dan Kuala Lumpur (KL) City FC (0-1).

Perak, yang mempunyai dua kemenangan, tiga seri dan tujuh kekalahan daripada 12 perlawanan setakat ini, berada di tangga ke-11 dalam kedudukan Liga Super dengan sembilan mata. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram