'Lucu orang Malaysia masih percaya', dakwaan FAM tolak undangan team Piala Dunia dipersoal fans Indonesia


  • Podium
  • Jumaat, 02 Jun 2023

Malaysia pernah menentang Brazil yang dibarisi oleh Lucio, Ronaldo, Rivaldo dan Cafu pada 2002.

MESKIPUN Malaysia hanyalah pasukan kerdil dalam dunia bola sepak dunia namun diam-diam pasukan Harimau Malaya juga pernah menarik perhatian skuad Piala Dunia iaitu Brazil dan Argentina.

Perkara itu didedahkan sendiri oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin yang mengatakan bahawa badan induk berkenaan pernah menerima jemputan dari dua pasukan tersebut untuk mengadakan perlawanan persahabatan tahun lepas.

Menurut Hamidin, pelawaan tersebut terpaksa ditolak berikutan ketua jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan-gon, berpendapat belum tiba masanya skuad negara berdepan dua pasukan terbaik dunia dari benua Amerika Selatan itu.

WhatsApp Image 2023-06-02 at 16.16.55

Hamidin mengesahkan bahawa menerima jemputan dari Brazil dan Argentina.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai pasukan Indonesia yang akan bertemu juara Piala Dunia 2022 Argentina pada aksi persahabatan yang akan berlangsung di Jakarta pada 19 Jun ini.

Menurut laporan media tempatan, Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) mengeluarkan dana sebanyak RM73.8 juta atau kira-kira AS$16 juta bagi mengadakan perlawanan menentang pasukan yang diketuai Lionel Messi itu.

Pendedahan daripada Hamidin itu jelas menggembirakan penyokong bola sepak tempatan terutamanya yang menginginkan pemain dari juara Piala Dunia 2022, Argentina bakal beradu kekuatan dengan barisan tonggak Harimau Malaya

Khabar berita FAM menerima jemputan dari dua negara itu turut menarik perhatian penyokong negara jiran namun reaksi yang diberikan mereka agak sedikit berbeza apabila mempersoalkan kenyataan Hamidin.

WhatsApp Image 2023-06-02 at 16.10.22

Tangkap layar media Indonesia turut melaporkan berita dari FAM itu.

Penyokong skuad Garuda seakan-akan tidak mempercayai kenyataan pihak FAM dan bagi mereka sekali pun ia benar, pasti wakil media dua negara tersebut sudah mengeluarkan kenyataan berhubung jemputan itu.

“Sumber berita daripada Presiden FAM sahaja. Daripada pihak Brazil dan Argentina atau wartawan luar. Kalau begitu buat saja dakwaan yang Malaysia dijemput jadi peserta undangan Piala Dunia 2026 tanpa kelayakan,” kata penyokong Indonesia, Roughly_Doom.

“Hebatnya pasukan ranking 138 dunia tolak juara tiga kali dan lima kali Piala Dunia. Mantap FAM, Indonesia tak boleh,” tambah seorang penyokong Sang Garuda, Teddy Out.

“Dan lucunya orang Malaysia masih percaya,” kata seorang lagi penyokong Indonesia, Yafee.

Walaupun penyokong negara seperti tidak mempercayai dakwaan pihak FAM namun hakikatnya Malaysia pernah menentang Brazil yang dibarisi oleh Ronaldo, Rivaldo dan Cafu pada 2002.

Dalam pada itu, Skuad Harimau Malaya dijadual menghadapi aksi antarabangsa Tier 1 yang pertama menentang Kepulauan Solomon pada 14 Jun, sebelum menentang Papua New Guinea bagi aksi kedua 20 Jun, kedua-duanya di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Kuala Nerus, Terengganu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram