PERAK FC akan menerima kunjungan pasukan pelawat, Terengganu FC dalam perlawanan ke-13 Liga Super 2023 yang berlangsung di Stadium Perak, Ipoh, Perak pada Sabtu.
Aksi di gelanggang sendiri itu menjadi tumpuan kerana ia merupakan perlawanan pertama skuad Seladang selepas pemecatan ketua jurulatihnya, Datuk Lim Teong Kim pada 25 Mei lalu.
Ekoran pemecatan tersebut, tempat bekas bekas jurulatih akademi Bayern Munich itu diambil alih oleh pengendali skuad Piala Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) Perak iaitu Yusri Che Lah yang bertindak sebagai jurulatih sementara.
Mengulas mengenai perlawanan pertamanya bersama skuad Seladang dalam aksi pada Sabtu, Yusri dilihat cuba tidak terlalu meletakkan harapan yang menggunung buat anak buahnya.
"Saya amat mengharapkan para pemain cuba melakukan yang terbaik. Apa yang kita lihat, saya bukanlah ahli sihir yang boleh menukar (prestasi pasukan) sekali gus.
"Jadi saya mengharapkan kehadiran penonton untuk membantu beri sorakan kepada pemain saya.
"Pada masa sama, pemain perlu lebih berasa yakin ketika beraksi nanti kerana ini peluang mereka untuk cuba mendapatkan mata di halaman sendiri walaupun dalam keadaan cuaca panas (beraksi pada waktu petang)," katanya.
Dia berkata demikian dalam satu sesi temu bual menerusi rakaman sesi latihan pasukan Perak FC yang disiarkan di saluran YouTube rasmi Perak pasukan, TBG TV pada Jumaat.
Menurut Yusri, dia turut berharap agar pemain The Bos Gaurus (TBG) dapat mengadaptasi corak permainan yang cuba diterapkannya dalam perlawanan pada Sabtu nanti.
Luciano dipilih sebagai kapten baharu Perak FC bagi menggantikan Muhammad Hafizal. — Facebook/PerakFootballClub
Dalam pada itu, Perak FC menerusi video sama dilihat turut mendedahkan mengenai pelantikan kapten baharu oleh Yusri yang memilih pemain tengah import, Luciano Guaycochea sebagai ketua pasukan.
Perkembangan itu sekali gus menyaksikan pemain kelahiran Argentina itu menggantikan Muhammad Hafizal Muhammad sebagai kapten yang sebelum ini mendapat kritikan keras penyokong ekoran prestasi tidak menyakinkan.
Mengulas mengenai pelantikannya, Luciano berkata, dia menghargai kepercayaan diberikan Yusri terhadapnya dan gembira dengan tanggungjawab baharu yang diterima itu.
"Namun begitu, pemain harus faham bahawa pasukan ini bukan pasukan saya, tapi pasukan kita semua.
"Walaupun ada pemain yang dah senior dan ada yang masih muda, itu tak penting. Yang penting adalah kita semua mampu menonjolkan aksi terbaik ketika di atas padang. Itu sudah mencukupi," katanya.
Pemain Perak FC menjalani latihan menjelang perlawanan menentang Terengganu FC pada Sabtu. — Facebook/PerakFootballClub
Luciano turut berharap agar pemain dapat mengubah mentaliti sesuai dengan idea yang mahu diterapkan jurulatih baharu pasukan.
"Pemain mesti pantas menyerap idea yang mahu diterapkan keranan kita turut mahu mengubah prestasi pasukan.
"Saya harap bermula dengan perlawanan pada Sabtu ini, kita dapat mengubah keputusan prestasi kita untuk penyokong, pihak pengurusan dan pasukan Perak FC itu sendiri," ujarnya.
Pasukan TBG ketika ini menduduki tangga ke-11 Liga Super, iaitu di kedudukan empat tercorot daripada 14 pasukan selepas mengharungi 12 perlawanan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram