Cheng Hoe tak boleh terima, leka punca Gergasi Merah rebah


  • Podium
  • Ahad, 04 Jun 2023

Sekitar aksi Liga Super di Stadium MBPJ yang dipamerkan pemain Gergasi Merah dan The Cops. — Facebook/Selangor FC

KETUA jurulatih Selangor FC, Tan Cheng Hoe, seakan-akan sukar menelan hakikat hilang mata berharga ketika tersungkur kepada PDRM FC dengan keputusan 0-1 dalam aksi Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada Sabtu.

Gol jaringan Bruno Suzuki yang menyambut umpanan tinggi di dalam kotak selepas sejam permainan menjadi pemisah pertembungan di Stadium MBPJ itu untuk merencatkan hajat Gergasi Merah melakar kemenangan Liga Super keempat berturut-turut.

"Pasukan telah bermain dengan begitu baik dan pemain menunjukkan komitmen tinggi.

"Kalau tidak jaringkan gol dalam 1-2 peluang, sebaliknya pihak lawan memerlukan satu peluang sahaja.

"Jadi kami tidak boleh leka baik ketika menyerang dan bertahan.

"Kami sudah jangka PDRM menjurus kepada corak lebih bertahan sebab itulah saya berpesan kepada mereka kena bijak.

"Tapi oleh kerana kelekaan beberapa pemain, kami dibolosi dengan gol yang tidak boleh diterima," katanya selepas perlawanan.

Sementara itu, ketua jurulatih Sang Saka Biru, Azzmi Aziz, memuji keseimbangan barisannya dalam merealisasikan rencananya.

"Kami menjadi daripada segi bertahan dan menyerang.

"4-5 pertahanan kami sentiasa dapat mengekang asakan Selangor," katanya.

Dalam masa sama, Johor Darul Takzim (JDT) kekal di puncak sementara Terengganu FC yang merakamkan kemenangan 3-0 di laman sendiri ke atas kelab bergelut yang kini dikemudi sementara oleh Yusri Che Lah, Perak FC. — Stadium Astro

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram