Penat tunggu tunggakan gaji Sarawak United, legenda HM asal Terengganu minta tapak niaga air untuk sara hidup


  • Podium
  • Isnin, 05 Jun 2023

Sharbinee memulakan karier profesionalnya bersama Terengganu pada 2013 dan kembali semula ke pasukan itu ketika musim 2014-17. — Facebook/Dunia Sukan

SIAPA yang tidak ingat musim lepas, Sarawak United FC (SUFC) menjadi antara pasukan yang terpalit isu gaji bersama Melaka United sehingga kedua-dua kelab tersebut disekat daripada menyertai Liga Super.

Walaupun Liga Malaysia (Liga M) sudah memasuki musim baharu dan SUFC juga kini beraksi dalam saingan Liga M3 namun kemelut dalaman yang melanda SUFC masih belum selesai.

Berdasarkan laporan dari Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) pada Januari lalu memaklumkan jumlah keseluruhan tunggakan gaji pemain skuad Ngap Sayot adalah lebih RM400,000.

Oleh itu, tidak hairanlah jika terdapat beberapa pemain SUFC musim lalu masih menuntut hak mereka di pelbagai platform seperti media sosial dan saluran media tanah air.

Seperti pada Mac lalu, bekas penjaga gol Sarawak United, Sharbinee Allawee berkongsi bahawa dia dan beberapa rakan sepasukan masih lagi menanti tunggakan gaji bagi tempoh tiga bulan.

Memetik laporan dari TVS, pemain berusia 36 tahun itu meyifatkan dugaan berkenaan terlalu berat baginya berikutan ada perut yang hendak diisi dan banyak keperluan perlu dibeli menggunakan wang ringgit.

WhatsApp Image 2023-06-05 at 15.10.50

Sharbinee (kanan) bersama pengasas air SETIN, Sukri. — Facebook/SukriSulaiman

Seperti sudah penat bergantung harap dengan gaji tertunggak dari SUFC, kini difahamkan bekas pemain kebangsaan itu sedang dalam proses untuk berniaga air di kampung halamannya, Kuala Terengganu.

Perkara itu didedahkan oleh pengasas air jenama SETIN iaitu Sukri Sulaiman yang mana dia menyatakan Sharbinee akan membuka gerai air untuk mencari mata pencarian selepas kontraknya tamat bersama SUFC.

“Sharbinee hilang mata pecarian selepas tamat kontrak bersama Sarawak FC, Jadi Sukri ambil keputusan untuk tutup di Danau Kota dan barang-barang yang berada di Danau Kota Sukri serah semua pada Sharbinee, Sukri buka peluang pada Sharbinee untuk berniaga air SETIN di kuala Terengganu.

“Jadi Sukri minta awak-awak Tranung boleh sokong legenda Terengganu ini...sebab keuntungan 100% dapat padanya...Sukri bagi kanopi balang semua bahang mentah yang ada di Danau Kota itu pada Sharbinee tanpa ade minta apa-apa bayaran, cuma Sharbinee masuk meniaga dan ambil untung 100%...Sukri harap sangat anda sokong legenda ini sebab dia pernah mengharumkan nama Terengganu,” kongsi peniaga itu di Facebook miliknya.

WhatsApp Image 2023-06-05 at 15.10.59

Tangkap layar Sharbinee sedang mencari tapak perniagaan. — Facebook/SukriSulaiman

Bekas pemain Terengganu itu bagaimanapun mengalami masalah apabila difahamkan kini dia meminta jasa baik masyarakat di Kuala Terengganu untuk membantu mencari sebuah tapak bagi meneruskan perniagaan air tersebut.

“Sharbinee bekas penjaga gol Terengganu mula jual air SETIN lusa...tapi ada sedikit masalah, tapak dia tiada lagi...semua barang-barang Sukri dah serah padanya...Tunggu nak meniaga saja,. Siapa ada kenal persatuan atau tahu mana-mana tapak yang boleh Sharbinee menjual. Sukri harap semua dapat tolong...mana yang nak bantu Sharbinee boleh contact rakan kongsinya,” tambah Sukri.

Ketiadaan tapak akan merencatkan hasrat Sharbinee membuka perniagaan yang boleh membantunya mencari wang tambahan menyara keluarga, selain melupakan seketika isu tunggakan gaji tersebut.

Untuk rekod, Sharbinee merupakan bekas penjaga gol kebangsaan pada tahun 2009 hingga 2011 serta pernah beraksi di Sukan SEA Laos, selain banyak menghabiskan kariernya di Terengganu iaitu kira-kira 10 tahun. Dia juga pernah berhijrah menyertai Selangor, Kuala Lumpur dan Pahang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram