Main baik tapi masih tak skor, jentera serangan TFC bakal berwajah baharu


  • Podium
  • Jumaat, 10 Mac 2023

Jordan Mintah dijangka bakal menjadi taruhan pasukan Terengganu ketika melayan kunjungan PDRM pada Sabtu. — Facebook/TFC

KETUA jurulatih Terengganu FC (TFC), Tomislav Steinbruckner membayangkan akan merombak skuad di barisan hadapan sebagai persediaan bertemu PDRM FC dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Terengganu pada Sabtu.

Pengendali kelahiran Croatia itu berkata, selepas tiga perlawanan, skuad Penyu masih dibelenggu masalah ketumpulan penyudah yang mengakibatkan pasukan itu gagal meledak sebarang gol dalam tiga perlawanan lepas berdepan Johor Darul Takzim (JDT), Kedah Darul Aman FC dan Kuala Lumpur City FC.

Justeru, beliau membayangkan bakal menurunkan pemain import kelahiran Ghana, Jordan Mintah sebagai penyerang utama selepas Adisak Kraisorn dan Ivan Mamut gagal mempamerkan prestasi yang diharapkan.

"Kami tidak menjaringkan gol dalam tiga perlawanan sebelum ini. Tugas saya untuk mencari penyelesaian dan Mintah satu daripada penyelesaian kerana Ivan dan Adisak, mereka bermain dengan baik namun masih tidak menjaringkan gol,” katanya kepada pemberita pada sesi latihan di Kompleks Sukan Gong Badak, Terengganu.

Selain Mintah, Steinbruckner yang mesra dipanggil Tommy juga dijangka menurunkan pemain tengah import Habib Haroon yang sudah pulih daripada kecederaan.

Menurutnya kehadiran Habib sebagai pengemudi posisi tengah sedikit sebanyak melegakan dan menambah keyakinan TFC untuk mendapatkan kemenangan pertama malam esok (Sabtu).

"Faiz Nasir juga sudah semakin pulih (daripada kecederaan) setakat ini, sudah tentu saya akan pertimbangkan dan mungkin akan beri beliau peluang untuk beraksi pada Sabtu ini,” katanya.

Dalam pada itu Tommy turut mengingatkan pemain supaya sentiasa menjaga emosi dan moral ketika di atas padang supaya tidak berlaku insiden tidak diingini yang menyebabkan impak buruk terhadap pasukan. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram