TFC berdepan Kelantan FC tanpa 2 peledak, 'kereta kebal'


  • Podium
  • Isnin, 03 Apr 2023

TFC kini menduduki tangga kelapan Liga Super selepas mengumpul tujuh mata daripada enam perlawanan. — Facebook/ TFC

SKUAD Penyu ditagih supaya mengekalkan rentak kemenangan yang dicapai sebelum ini apabila bertemu Kelantan FC pada saingan Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Kuala Terengganu, Terengganu pada Selasa.

Ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Tomislav Steinbruckner berkata, semua pemain perlu bekerja keras dan mengelak kesilapan mudah bagi memastikan skuad Penyu terus pulang dengan tiga mata.

"Selepas kemenangan Jumaat lepas, kami segera melihat kepada lawan seterusnya iaitu Kelantan FC.

"Saya harap pemain dapat mengekalkan momentum dan buat yang terbaik untuk mengutip tiga mata daripada perlawanan penting esok (Selasa),” katanya ketika ditemui pada sesi latihan di SSMZA Gong Badak, pada Isnin.

339078127_762421475599161_3129834274100493828_n

Kulmatov tidak beraksi menentang Kelantan FC akibat tiga kad kuning yang dikumpulnya setakat ini. — Facebook /TFC

Selain itu, Steinbruckner turut menggesa pemain supaya menjaga aspek kesihatan kerana jadual perlawanan yang agak padat pada Ramadan ini.

Sementara itu, tonggak import skuad Penyu, Jordan Mintah berharap dapat pulih daripada kecederaan dan kekal beraksi pada perlawanan menentang skuad Kijang Emas.

Selepas berjaya meledak gol pertamanya musim ini ketika perlawanan menentang Kelantan United FC (KU) Jumaat lepas, Mintah akui semakin bersemangat untuk membantu skuadnya mencipta kemenangan.

"Saya sentiasa bekerja keras dan memberikan 100 peratus kepada pasukan.

"Sudah tentu saya gembira dapat menjaringkan gol pertama saya minggu lepas. Tapi tidak kira sesiapapun yang menjaringkan gol...yang penting adalah kemenangan pasukan,” katanya.

337169186_1060089118283175_4625204153941413728_n

Argzim mungkin bakal menggantikan Kulmatov. — Facebook/ TFC

Selain Mintah, tanker kebal TFC, Sardor Kulmatov juga tidak dapat diturunkan pada aksi derbi Pantai Timur itu selepas digant/ung satu perlawanan kerana menerima tiga kad kuning.

Turut tidak dapat beraksi pada pertembungan itu adalah pemain sayap kelahiran Haiti, Sony Norde yang mengalami kecederaan hamstring.

Difahamkan, Argzim Redzovic dan pemain skuad Bawah 22 Tahun (B-22) Malaysia, Muhammad Safwan Mazlan boleh menggantikan tempat Kulmatov manakala posisi Norde boleh diisi Faiz Nasir, Hakimi Abdullah atau Nik Muhammad Sharif Haseefy Mohd Lazim.

TFC kini menduduki tangga kelapan Liga Super selepas mengumpul tujuh mata daripada enam perlawanan manakala Kelantan FC di tangga ke-11 dengan empat mata. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram