PENYOKONG Terengganu FC (TFC) mula tidak senang duduk selepas skuad Sang Penyu merekodkan tiga keputusan kurang memberangsangkan di pentas Liga Super musim ini.
Bermula dengan kekalahan kepada Johor Darul Takzim (JDT) (0-2), diikuti Kedah Darul Aman FC (0-1) dan keputusan seri 0-0 dengan KL City FC, penyokong mula tertanya-tanya apa nasib pasukan itu kelak.
Meskipun saingan liga masih panjang, naib juara Liga Super 2022 perlu segera menganalisis situasi kekalahan bagi mengelakkan pasukan itu menanggung malu jika terus berada di kedudukan tercorot carta.
Pengendali TFC, Tomislav Steinbruckner sendiri mengakui, ketumpulan penyudah menjadi faktor utama skuad Penyu masih kempunan meraih kemenangan setelah tiga perlawanan.
Penyertaan Omid Nazari ke TFC dilabel penyokong sebagai pembelian panik. — Facebook
Ketika ini, penyokong mula 'berbunyi' kerana import-import yang ditandatangani pasukan tersebut musim ini seperti Ivan Mamut, Adisak Kraisorn, Domagoj Pusic dan Omid Nazari nampaknya masih tidak berjaya membentuk squad depth yang bagus.
Laman penyokong Analisis Bola Tranung mempersoalkan pengambilan Omid Nazari apabila pemain berdarah Iran-Filipina dilihat tidak memainkan peranannya dengan baik sebagai pemain tengah menyerang (AMF).
"Coach pun akui kita tiada pemain AMF yang boleh cipta peluang dan boleh skor dari posisi itu. Tapi kenapa Omid didatangkan untuk last signing import ini, adakah sekadar memenuhkan kuota saja?
"Untuk berharap kepada pemain tempatan, memang dok napok (tak nampak) lagi pemain yang bagus di posisi no 10 ni selain Faiz Nasir yang boleh diadaptasi di posisi tersebut tapi itupun bukan sebagai core player posisi berkenaan," katanya.
TFC masih bergelut mencari rentak meskipun sudah mengharungi tiga perlawanan. — Facebook
Menurutnya lagi, Tomislav turut mengakui penyerang tidak berlari untuk mencipta ledakan di gawang, sebaliknya sekadar menunggu dan melompat di tempat sama, sekali gus memperlihatkan mereka mudah untuk diatasi oleh pihak lawan.
"Untuk perlawanan malam tadi (Ahad), Adisak jauh mendahului Ivan Mamut dari gaya seorang penyerang itu. Mamut tiada gaya atau style of play sebagai seorang penyerang, dia terlalu mudah dibaca.
"Diharapkan naluri pencetak gol dia akan tiba suatu hari nanti jika masih mahu memikat hati penyokong TFC...jika tidak namanya akan sentiasa kami 'ingati'," katanya.
Sementara itu, menjengah ruangan komen, laman TFC Data Hub juga berasakan squad depth Sang Penyu masih belum cukup bagus dengan reputasinya sebagai antara kelab besar di Liga Malaysia.
Ivan Mamut dikatakan tidak memiliki naluri seorang penyerang yang bagus. — Facebook
Malah perkara itu dipersetujui seorang penyokong, Faizwan Faez yang berasakan skuad tersebut masih bergelut mencari rentak dan khuatir ia tidak dapat dipersiapkan menjelang kejohanan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2023.
"Main AFC tapi skuad utama still struggle cari rentak, squad depth jangan katalah. Signing local tak selari dengan kejayaaan kita ke AFC.
"Adakah CEO nak TFC sekadar makan angin je untuk AFC nanti?," persoalnya.
Pada musim lalu, TFC berjaya menempah tiket ke Piala AFC 2023 setelah mengesahkan kedudukannya sebagai naib juara Liga Super di belakang juara bertahan, JDT.
Selain TFC, pasukan Sabah FC selaku penyandang tempat ketiga liga turut berjaya merebut slot ke kejohanan antarabangsa itu selepas Selangor FC terlepas peluang apabila gagal menewaskan JDT dalam aksi Piala Malaysia 2022. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram