Nazufi Zain memang yakin sejak awal game, OKS akui ada pemain Kedah mampu ubah keputusan


  • Podium
  • Sabtu, 03 Jun 2023

KDA FC meraikan kemenangan apabila menewaskan Sabah FC di laman sendiri. — Facebook/ KDA FC

PASUKAN Kedah Darul Aman FC (KDA FC) berjaya bangkit daripada ketinggalan untuk menundukkan Sabah FC dalam saingan Liga Super dengan keputusan 2-1 di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Kedah pada Jumaat.

KDA FC berpuas hati dengan tiga mata penuh yang berjaya dibawa pulang di laman sendiri walaupun pada awal babak pertama Sabah FC membuka tirai jaringan menerusi Gabriel Peres pada minit ketujuh.

Namun begitu, pasukan Sang Kenari tidak dipengaruhi oleh keputusan tersebut malah terus membuat serangan demi serangan agar benteng pertahanan Sang Badak dapat dirobek dan pada minit ke-40, pemain tengah KDA FC Lee Tuck berjaya menyamakan kedudukan.

Lee Tuck sekali lagi merobek gawang Sabah pada babak kedua, sekali gus menjadi gol kemenangan buat Kedah dan membuatkan Sang Badak pulang tangan kosong dari Darul Aman.

WhatsApp Image 2023-06-03 at 08.50.26 (1)

Lee Tuck menjaringkan dua gol dalam aksi menentang Sabah FC. — Facebook/ KDA FC

Mengulas perlawanan tersebut, pengendali KDA FC, Nafuzi Zain mengakui dia berbangga dengan prestasi yang ditampilkan oleh anak buah kendalianya itu kerana yakin akan memperolehi kemenangan menentang Sabah di Alor Setar.

"Bagi saya minit pertama lagi menyakinkan saya, kita tahu Sabah mendahului namun dengan performance dan starting daripada player, saya yakin Kedah akan menang.

"Dari segi overall, daripada attack, counter pressing, kita tidak memberi ruang kepada Sabah untuk bermain.

"Game ini normal, kadang kalau kita mendahului kita akan tewas seperti game sebelum ini, perjalanan game memang macam itu, kadang kita score kadang tak tapi paling penting karakter pemain," katanya.

Selain itu, Nafuzi juga mengatakan bahawa sasarannya berjaya pada perlawanan pertama itu kerana pastinya dapat mengubah kedudukan dalam carta dan berbangga dengan keputusan yang dicapai.

"Top 4 ini adalah satu pencapaian yang baik untuk setakat ini dan kita perlu menang terutamanya bersaing pasukan yang berada di atas kita mahupun di bawah.

"Saya betul-betul berterima kasih dengan komitmen yang diberikan oleh player," jelasnya.

Tambahan pula, menerusi prestasi semasa dipamerkan Lee Tuck, ianya pasti melegakan Nafuzi ketika menentang Sang Badak apabila meledak gol kemenangan pada minit ke-72.

"Aksi yang ditampilkan oleh Lee Tuck sememangnya luar biasa dan kita nampak kebolehan dia sangat menonjol.

"Dua gol yang dijaringkan Lee Tuck amat penting," kongsinya.

WhatsApp Image 2023-06-03 at 08.50.48

Sekitar aksi perlawanan Sang Badak menentang Sang Kenari. — Facebook/ KDA FC

Dalam pada itu, pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee (DOKS) mengakui bahawa aksi yang ditunjukkan oleh pemain Sang Kenari mampu mengubah keputusan perlawanan walaupun pasukannya mendahului 1-0 pada awal permainan.

"Kita hanya berjaya mampu mengawal keadaan hanya sementara tetapi pasukan Kedah menunjukkan permainan yang lebih baik kerana bagi saya mereka mempunyai individu-individu yang boleh melakukan sesuatu dalam keadaan yang tertekan.

"Kita gagal dalam mengekalkan gol yang didahului dan perlu mengubah rentak permainan namun Kedah mempunyai kualiti pemain yang cukup baik untuk mengucar-ngacirkan bahagian pertahanan pasukan lawan," katanya.

KDA FC berada pada kedudukan keempat carta Liga Super dengan mengutip 25 mata manakala Sabah FC hanya dibezakan satu mata. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram