Cheng Hoe: ‘Pahit tapi satu kekalahan tidak akan sebabkan panik’


  • Podium
  • Ahad, 04 Jun 2023

Cheng Hoe belum menekan butang panik selepas Selangor ditumpaskan The Cops pada Sabtu.

LAPTOP Cabuk menemui pembaca lagi. Berinspirasikan minda tua yang mungkin sudah berkarat, karya ini dan seterusnya akan cuba menyingkap cerita di sebalik tabir dan sesuatu yang mungkin terlepas daripada pengamatan ramai untuk sama-sama memeriah dan meraikan Liga Malaysia musim 2023.

TIGA mata yang kehilangan selain semakin dirapati sekurang-kurangnya tiga pasukan pesaing harus ‘harga’ yang mahal untuk dibayar bagi satu kekalahan tapi Tan Cheng Hoe masih kekal positif dan optimistik.

Tiada guna meratapi sesuatu yang sudah berlaku, ketua jurulatih Selangor FC itu bagaimanapun mahu pemain-pemainnya mengambil pengajaran daripada kekalahan 0-1 di tangan PDRM FC pada Sabtu untuk lebih berkeyakinan menghadapi perlawanan-perlawanan mendatang.

WhatsApp Image 2023-06-04 at 18.06.04 (1)

Sekitar aksi perlawanan Gergasi Merah menentang PDRM FC di MBPJ. Facebook / Selangor FC

Jauh tersasar daripada harapannya bagaimana mereka harus menutup pusingan pertama liga, jurulatih berusia 55 tahun itu mengungkapkan: “Kekalahan ini sukar ditelan tapi kami hanya boleh salahkan diri sendiri.

“Kami tidak cukup agresif untuk mengatasi disiplin taktikal lawan. Kesudahannya, kreativiti yang diperlukan tidak diperoleh. Apa pun, tahniah daripada kami kepada PDRM FC yang berhabis-habisan untuk kemenangan mereka.”

Untungnya buat Selangor FC, jurang mata yang dibuka sebelumnya membolehkan mereka mengekalkan tangga kedua, mengatasi Sri Pahang FC, Kedah Darul Aman FC dan Sabah FC yang semakin dekat menghambat.

WhatsApp Image 2023-06-04 at 18.06.05

Aksi yang ditampilkan Faisal Halim ketika menentang The Cops.Facebook / Selangor FC

Ia adalah kekalahan ketiga mereka setelah terdahulu tunduk 0-4 kepada Johor Darul Takzim (JDT) di Stadium MBPJ, Petaling Jaya (17 Mac) dan 1-2 kepada Sabah FC di Stadium Likas, Kota Kinabalu (27 April).

Dalam pada itu, skuad Gergasi Merah itu diakuinya jauh daripada boleh berasa selesa, lebih-lebih lagi saingan pusingan kedua liga akan bermula pada Jumaat, dengan mereka akan ke Kota Bharu untuk menjadi tetamu kepada Kelantan United FC.

“Saya tidak panik dengan satu kekalahan, (sebaliknya) saya sangat positif dan optimis. Anda tidak boleh ubah sesuatu yang sudah berlaku dan kemenangan dalam perlawanan berikut adalah satu kemestian sebagai penebus,” kongsinya dengan Laptop Cabuk.

“Sebagai jurulatih, saya harus bersikap positif tapi pendekatan kami selepas ini perlu lebih konsisten. Paling penting, pemain-pemain juga perlu berminda positif kerana kami perlukan karakter yang kuat apabila keputusan tidak memihak kami.”

WhatsApp Image 2023-06-04 at 18.06.04

Pemain Gergasi Merah cuba mengawal kemas bola daripada direbut pihak lawan.Facebook / Selangor FC

Dalam merencanakan langkah ke hadapan, Cheng Hoe berkata keutamaan mereka kini ialah untuk mengembalikan kepercayaan terhadap keupayaan Selangor FC sebagai antara barisan pencabar di samping menerapkan keyakinan mampu melakukan lebih baik lagi.

Ketua jurulatih itu lebih daripada bersedia untuk mengakui bahawa mereka tidak boleh tercari-cari alasan di sebalik kekalahan kepada PDRM FC yang meraikan jaringan tunggal Bruno Suzuki pada minit ke-61 di sebalik lawan itu turut dilayangkan lima kad kuning.

Mengakui ia perlawanan yang sukar walaupun ia berlawanan di atas kertas, Selangor FC gagal menangani cabaran pasukan tuan rumah itu dengan baik gara-gara acap kali dilihat terlalu bersahaja, seolah-olah gol lambat-laun akan tiba juga.

“Ketika rehat separuh masa (kedudukan masih terikat 0-0), saya ingatkan pemain-pemain yang mereka tak boleh menutup suis terhadap permainan mereka.

“Kami masih bermain dengan baik, cuma kami perlu lebih agresif dalam petak penalti lawan. Kami perlukan kerjasama lebih ramai pemain untuk menyudahkan peluang ketika naik menyerang tapi itu tidak berlaku.

“Sebaliknya, PDRM yang menunjukkan sesuatu untuk kami belajar daripada mereka. Mereka tidak kisah jika ada pemain mereka yang patah kaki asalkan dapat mengalahkan Selangor FC,” katanya.

Cheng Hoe juga menolak sebarang tanggapan yang mereka kurang bersedia atau terperangkap dengan corak bertahan lawan yang menyandarkan nasib kepada serangan balas.

WhatsApp Image 2023-06-04 at 18.06.04 (2)

Aksi menarik pemain The Cops cuba mengawal ketat Gergasi Merah. Facebook / Selangor FC

Daripada 13 perlawanan yang sudah diharungi, katanya, skuad Gergasi Merah itu sudah pun teruji oleh lawan yang banyak bertahan, termasuk Negeri Sembilan FC (2-1) dan Sri Pahang FC (1-1) yang dapat ditangani dengan baik.

Malah, ketika tewas 1-2 kepada Sabah FC di Stadium Likas, mereka masih mampu mendapatkan satu gol menerusi penyerang berjersi nombor 7, Faisal Abdul Halim.

“Kami tidak punya sebarang alasan sekalipun PDRM mengamalkan corak bertahan. Seperti mereka, kami juga sudah mengkaji corak permainan lawan dan kami tahu apa yang harus dijangkakan dalam perlawanan ini.

“Pada penghujungnya, kami telah melakukan segala-galanya – penguasaan, kelancaran dalam gerakan dan serangan bertali-arus – kecuali memasukkan bola ke dalam pintu gol pasukan lawan.

“PDRM pula menanti untuk satu peluang yang diraihnya dan mereka menjaringkan gol kemenangan,” tambahnya.

Cheng Hoe turut enggan menggunakan hipotesis ketiadaan ketua pasukan, Brendan Gan, yang masih menjalani rawatan kecederaan pergelangan kaki yang dialami ketika mengalahkan Perak FC 4-0 pada 20 Mei, sebagai merumitkan lagi keadaan.

“Brendan sebagai seorang pejuang dan pemimpin mungkin dapat menaikkan semangat rakan sepasukan tapi saya tak boleh mengatakan kehadirannya akan memberikan kami kemenangan,” ujarnya.

“Harap-harap ini adalah satu perlawanan tak menjadi yang kami tewas.

“Pusingan kedua liga akan lebih mencabar dan kami perlu terus bekerja keras dalam latihan untuk memastikan peningkatan seluruh pasukan.

“Mewakili Selangor, kami harus sentiasa beringat bahawa tuntutan dan jangkaan terhadap pasukan sentiasa tinggi,” katanya lagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram