Tiga nama sesuai buat Fandi kuatkan jentera serangan, bahagian tengah Tok Gajah


  • Podium
  • Sabtu, 03 Jun 2023

Fandi sebelum ini menegaskan bahawa dia berharap agar Sri Pahang FC membawa masuk dua atau tiga pemain baharu. — Facebook/Sri Pahang FC

KEDUDUKAN di tangga ketiga Liga Super selepas 12 perlawanan pastinya sedikit sukar dipercayai sebahagian kecil penyokong Sri Pahang FC.

Satu kekalahan yang direkodkan ketika berdepan pendahulu liga, Johor Darul Takzim merupakan satu-satunya momen buat kelab Pantai Timur itu untuk gagal membawa pulang sebarang mata.

Namun, melihat kepada kualiti skuad Tok Gajah ketika ini, masih terdapat beberapa kelemahan ketara yang perlu diberi perhatian oleh pihak pengurusan.

Perkara itu diakui pengendali pasukan, Fandi Ahmad yang menegaskan bahawa Sri Pahang perlu berbelanja ketika jendela perpindahan kedua Liga Malaysia.

Kata pengendali kelahiran Singapura itu, posisi yang perlu diperbaiki adalah serangan dan posisi tengah kerana ia sering mengecewakan pasukan tersebut musim ini.

341830865_736832714653912_73750305998814135_n

Kpah (kiri) merupakan satu-satunya penyerang senior Tok Gajah ketika ini. Facebook/Sri Pahang FC

Dalam jentera serangan pasukan, hanya Kpah Sherman mampu memikul tanggungjawab itu berikutan kecederaan jangka masa panjang yang dialami Lucas Silva.

Bagaimanapun, pengalaman dan ketajaman pemain kelahiran Liberia tersebut bijak digunakan apabila dia muncul sebagai penjaring terbanyak pasukan dengan enam gol dalam 12 perlawanan.

Sementara itu, perhatian juga wajar diberikan kepada posisi tengah mereka berikutan persembahan kurang konsisten daripada pemain yang dimiliki ketika ini.

Nor Azam Azih yang bergelut dalam bayang-bayang sendiri sering dikritik manakala Kevin Ingreso juga kerap digantikan daripada kesebelasan utama.

Meskipun mereka memiliki Stefano Brundo yang mempunyai deria di hadapan pintu gol, penambahbaikan juga diperlukan bagi menghidupkan peluang Sri Pahang untuk ke Asia musim depan.

Oleh itu, melihat kepada situasi ketika ini, terdapat tiga individu yang sesuai untuk dibawa masuk untuk menguatkan lagi kualiti skuad pasukan.

1. Steven Rodriguez

Musim lalu, kehadiran penyerang kelahiran Colombia, Steven Rodriguez serba sedikit menghidupkan tahun yang suram buat Sri Pahang FC.

Dia yang tiba ketika pertengahan musim mengejutkan ramai pihak apabila tidak menunggu lama untuk menyesuaikan diri dalam skuad Tok Gajah.

Dalam lima perlawanan awal dalam Liga Super, penyerang berkenaan sudah menjaringkan tiga gol dengan kesemuanya menyumbang kemenangan buat pasukan berkenaan.

Memasuki penghujung musim, Rodriguez sudah merekodkan sembilan gol dalam hanya 13 penampilan meskipun kelab berkenaan mempunyai masalah prestasi di atas padang.

1832703

Kepulangan Rodriguez sememangnya cukup dinanti-nantikan. Facebook/Sri Pahang FC

Walaupun muncul sebagai antara watak utama Tok Gajah dan cukup digemari oleh penyokong, penyerang berusia 24 tahun itu memilih untuk tidak menyambung kontraknya supaya dia kekal di kelab Pantai Timur itu.

Kini, Rodriguez atau juga dikenali sebagai Titi masih diberikan peluang untuk keluar secara pinjaman apabila menyertai kelab Liga Colombia, Alianza Petrol.

Bagaimanapun, dengan status liga berkenaan lebih menduga berbanding Liga Malaysia, penyerang bertubuh sasa itu hanya menjaringkan empat gol daripada 16 penampilan.

Menurut kontrak di laman sesawang transfermarkt, pemain dengan ketinggian 1.77 meter itu terikat dengan kelab berkenaan sehingga Disember 2023.

Tetapi, sekiranya Sri Pahang mempunyai cita-cita besar, kontraknya boleh diselesaikan dengan bayaran pampasan, sekali gus menghidupkan peluang kelab untuk menambah baik kedudukan dalam carta liga.

Gandingan Rodriguez bersama Kpah Sherman pastinya cukup diharapkan rata-rara penyokong Tok Gajah kerana ia boleh dibandingkan dengan bekas duo penyerang Pahang, Dickson Nwakaeme dan Mathias Conti.

2. Jacob Njoku

Selepas mencipta nama bersama Kelantan United dalam Liga Perdana musim lalu, Jacob Njoku diberikan peluang untuk bersinar apabila Sabah FC membawanya masuk.

Pemain kelahiran Nigeria itu muncul dengan menjaringkan beberapa gol penting apabila skuad Kijang Hijau menamatkan saingan divisyen kedua tempatan.

Namun, sejak menyertai skuad Sang Badak, pemain berkenaan gagal memberikan sumbangan seperti mana diharapkan apabila hanya diletakkan di bangku simpanan.

Sepanjang lima bulan penyerang lincah berkenaan bersama kelab Borneo tersebut, dia hanya diturunkan sebanyak dua kali sebagai pemain simpanan.

Jacob-Njoku_Sabah-FC

Njoku gagal mendapatkan tempat dalam skuad Sang Badak. Facebook/Sabah FC

Di samping itu, Njoku juga kerap diberikan minit permainan bersama skuad Bawah 23 (B-23) Sabah FC bagi memastikan tahap kecergasannya tidak terjejas.

Kini, pemain berusia 25 tahun itu tidak terikat dengan mana-mana pasukan meskipun umum mengetahui akan kualiti yang dimilikinya.

Oleh itu, sekiranya Sri Pahang bercita-cita untuk menguatkan barisan serangan mereka, Njoku dilihat sebagai alternatif berdasarkan kebolehannya sepanjang berada di Liga Perdana.

Selain sesuai untuk digandingkan di samping Kpah Sherman, pemain bertubuh kecil itu juga boleh beraksi di pemain sayap, sekali gus mengurangkan bebanan yang ditanggung rakan sepasukannya.

Persoalannya, memandangkan pemain itu sendiri tidak boleh menembusi skuad Sang Badak, adakah dia sesuai boleh menjadi calon terbaik untuk menyelesaikan isu serangan Sri Pahang?

3. Mario Arques

Tidak boleh dinafikan bahawa isu pengurusan yang dialami Kelantan FC menimbulkan 1,001 tanda tanya mengenai nasib rata-rata pemain dalam pasukan itu.

Ketika ini, skuad The Red Warriors difahamkan bakal kehilangan beberapa pemain memandangkan berlakunya isu kelewatan pembayaran gaji sejak Mac lalu.

Antara yang dikatakan bakal mencari destinasi baharu ketika jendela perpindahan akan datang ialah pemain tengah yang juga merupakan kapten pasukan, Mario Arques.

Pemain kelahiran Sepanyol itu memilih untuk sekali lagi mewakili kelab Pantai Timur itu selepas pernah bersama-sama mereka pada musim 2021.

350478609_905936490471420_8156334327604539040_n

Kehadiran Mario mampu membawa dimensi baharu buat skuad Tok Gajah. Facebook/TRW Kelantan FC

Ketika ini, dia tampil sebagai watak utama kelab berkenaan dengan merekodkan 12 penampilan dalam Liga Super dengan dua turut dicatatkan dalam Piala FA.

Tetapi, berikutan isu gaji dan pengurusan yang semakin meruncing, terdapat kemungkinan bahawa pemain berusia 31 tahun berkenaan bakal meninggalkan pasukan.

Berdasarkan khabar angin yang tersebar di media sosial, Mario difahamkan akan menyertai Perak FC yang juga merupakan sebagai salah sebuah pasukan bergelut dalam Liga Super.

Sri Pahang FC boleh mengambil kesempatan dengan mendapatkan kapten TRW itu dengan kebolehannya untuk mengawal tempo permainan.

Gandingannya bersama Nor Azam dilihat cukup meyakinkan memandangkan masing-masing mempunyai kualiti tersendiri di atas padang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram