KEGAGALAN skuad bola sepak lelaki Bawah-23 tahun (B23) untuk mara ke peringkat separuh akhir pada temasya Sukan SEA Kemboja tempoh hari masih meninggalkan luka dalam diri setiap pemain mahupun pihak pengurusan.
Bagi menebus balik kesilapan berkenaan, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) membawa senjata baharu dengan mencuba mendapatkan khidmat dua pemain yang sedang beraksi di Eropah iaitu Luqman Hakim Shamsudin dan Noaa Laine pada Ogos depan.
Badan induk berkenaan akan berusaha agar kedua-dua pemain itu boleh membantu skuad B-23 bagi Kejohanan AFF B-23 di Thailand pada Ogos depan, manakala Richard Chin pula akan dimasukkan dalam untuk kempen Kelayakan Piala Asia B-23 pada September ini.
Kehadiran tiga pemain itu dalam skuad kendalian E Elavarasan pasti mempunyai pro kontra dan jika bercakap mengenai impak negatif, ramai penyokong mempersoalkan mengenai kualiti setiap tonggak muda tersebut.
Tidak usah mengambil contoh terlalu jauh, ketika kehadiran Noaa Laine dalam skuad senior, penyokong menzahirkan kekecewaan mereka dari segi penguasaan dan hantaran bola dalam aksi persahabatan pada Mac lalu.
Nooa pertama kali dipanggil ke skuad senior kebangsaan pada Mac lalu. — Facebook/FAM
Bagi legenda bola sepak negara, Datuk Jamal Nasir Ismail, isu kurang serasi mungkin berlaku terutamanya apabila ketiga-tiga pemain baharu itu masih asing dengan corak bola sepak tempatan.
Jamal mengingatkan bahawa pihak berkaitan ataupun penyokong jangan berharap akan berlaku magis dalam masa yang singkat terutamanya jika berlaku beberapa transformasi seperti kehadiran beberapa pemain baharu.
“Bila kita bercakap tentang bola sepak, ia adalah permainan berpasukan, not individual game. Kalau awak bawak balik dua, tiga orang dan awak harap mereka untuk segera menyesuaikan diri dengan corak permainan tempatan, memang susah.
“Sebab itu bila kita cakap pasal persediaan pasukan, mereka perlu berada dalam masa yang lama untuk dapatkan kesefahaman dan keserasian, selain mengikuti kejohanan luar negara. Kalau ambil mereka dengan masa latihan yang singkat tapi harap mereka untuk lakukan miracle, saya rasa ia mustahil,” katanya kepada Majoriti.
Richard bersama barisan kejurulatihan Harimau Malaya. — Facebook/FAM
Beliau yang juga pernah menyarung jersi Sri Pahang itu memberi tips bahawa bagi memastikan corak permainan kekal di tahap agresif, pasukan tersebut perlulah berlatih bersama dalam tempoh yang panjang.
“Ada dua, tiga nama besar pun tapi kata orang tak serasi dengan team, tak guna juga. Kita bersetuju kuatkan pasukan tetapi ada tanda tanya adakah dia boleh diserap dan boleh main bersama dengan pasukan sedia ada dengan cepat?.
“Bola sepak is long learning process. Tidak kisah berapa ramai pun pemain dikumpulkan, tiba-tiba awak datang dari Eropah dan nak main dengan kita sistem lain, pasti ada cabaran nanti,” ujarnya.
Barisan pemain ketika Sukan SEA 2023 Kemboja. — Facebook/FAM
Sebelum ini, Elavarasan yang juga penolong ketua jurulatih skuad senior memberi gambaran bahawa kurangnya persediaan menyebabkan skuad B-23 kendaliannya gagal ke pusingan lebih tinggi.
Elavarasan berkata, berbanding pasukan lain yang membuat persiapan rapi sebelum temasya sukan dwitahunan itu, skuad Harimau Muda di bawah kendaliannya itu hanya 'dikumpul' dan 'dibawa' bertanding.
Skuad Harimau Malaya B-23 kendalian Elavarasan diundi dalam Kumpulan B bersama Timor-Leste dan Indonesia bagi saingan yang akan berlangsung di Thailand dari 17 hingga 26 Ogos 2023. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram