Mengalahkan bekas pemain Liga Inggeris, gol Syafiq Ahmad dinobat gol terbaik JDT bulan Mei


  • Podium
  • Jumaat, 02 Jun 2023

Reaksi Syafiq selepas berjaya menjaringkan gol sulungnya pada musim ini ketika menentang Penang FC pada 28 Mei lalu. — Facebook/JOHORSouthernTigers

SELEPAS mengharungi 12 perlawanan Liga Super 2023, Johor Darul Takzim (JDT) membuktikan bahawa pasukannya berada di tahap tersendiri apabila berjaya memungut mata penuh dalam kesemua aksi dihadapi.

Tidak cukup itu, pasukan gergasi tanah air itu juga mencatatkan rekod jaringan yang luar biasa.

Sebagai contoh, untuk aksi Liga Super sahaja, skuad Harimau Selatan berjaya menyumbat 49 gol, jauh meninggalkan Selangor yang merupakan pasukan kedua tertinggi hasil daripada 30 gol.

Sementara itu, bagi aksi Liga Malaysia (M) sepanjang Mei pula, purata jaringan direkodakan juga agak menggerunkan apabila JDT dapat merekodkan 4.25 jaringan daripada setiap perlawanan diharungi.

Ia menjadikan jumlah keseluruhan gol berjaya dikutip dalam empat perlawanan dihadapi pada bulan lalu kepada sebanyak 17 jaringan.

Dalam pada itu, laman Facebook rasmi JDT, JOHOR Southern Tigers turut memuat senarai pendek lima jaringan terbaik pasukan bagi Mei.

Syafiq 3

Syafiq ketika menyambut jaringannya semasa menentang Penang FC pada 28 Mei lalu. — Facebook/JOHORSouthernTigers

Antara jaringan yang tercalon adalah gol daripada pertahanan tengah, Jordi Amat ketika aksi menentang Penang FC; Bergson Da Silva (Sri Pahang FC); Juan Muniz (Kuching City FC).

Dua lagi jaringan adalah daripada Syafiq Ahmad ketika menentang Penang FC dalam aksi Piala FA pada 28 Mei lalu dan gol daripada Fernando Forestieri yang juga bekas pemain Watford yang pernah beraksi di Liga Inggeris semasa melawan Sri Pahang FC.

Di sebalik barisan gol terbaik dihidangkan itu, rata-rata peminat JDT memilih jaringan hasil daripada rembatan kaki kanan Syafiq sebagai gol tercantik pasukan pada bulan lalu.

"Saya pilih gol Syafiq Ahmad. Assist yang secukup rasa ditambah penyudah sentuhan pertama yang sesedap rasa. Garam, gula dan rempah semua cukup. tak lebih tak kurang," Semut Api Pahang.

"Seronok Syafiq Ahmad duduk simpanan makin simpan makin bisa," ujar Mior Fairus Rizal.

"Syafiq Ahmad. Lencongan yg sederhana cukup memperdayakan. Gol pakai akal," kata Abu Bakar Suradi.

syafiq

Syafiq (kiri) ketika sesi latihan bersama skuad JDT. — Facebook/JOHORSouthernTigers

Untuk rekod, jaringan tersebut merupakan satu-satunya gol dijaringkan Syafiq yang dilihat ketika ini kurang mendapat minit permainan apabila hanya sekadar membuat tiga penampilan bersama pasukan daripada bangku simpanan.

Situasi itu agak merisaukan memandangkan dia dilihat sebagai antara tonggak penyerang harapan negara untuk menghadapi Piala Asia 2023 yang bakal berlangsung pada Januari tahun depan.

Pada masa sama, perkembangan itu juga menyebabkan anak kelahiran Sungai Ara, Pulau Pinang itu dikaitkan dengan beberapa perpindahan ke kelab lain di Liga M, antaranya Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Kelantan FC. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram