Terhangat di pasaran! 3 calon peledak free agent termasuk pemenang treble Liga 1 Thai wajar disambar kelab Liga Super


  • Podium
  • Jumaat, 02 Jun 2023

Bolingi (kanan) mencetak satu jaringan ketika pusingan akhir Piala FA Thailand yang melengkapkan treble Buriram United. — Agensi

KEMENANGAN treble Buriram United pada penghujung Mei ini dalam saingan Liga Thailand menandakan kejohanan tersebut akhirnya melabuhkan tirainya bagi musim 20222/2023.

Lebih membanggakan di sebalik kemenangan Buriram itu, kapten Harimau Malaya, Dion Cools menjadi salah seorang watak utama yang membantu pasukan berkenaan untuk mendapatkan kejuaraan berharga pada musim ini.

Dengan berakhirnya saingan Liga Thailand bagi musim 2022/23 itu, pastinya berita perpindahan dan khabar angin kemasukan pemain baharu akan menjadi sebahagian daripada adat setiap kejohanan bola sepak di dunia.

Tidak hairanlah jika terdapat beberapa pemain termasuk penyerang import mulai mengucapkan selamat tinggal kepada liga tersebut dan secara tidak langsung kini sebahagian pemain Liga 1 Thai berstatus ejen bebas.

Dengan status ejen bebas beberapa pemain itu, ia diam-diam membuka peluang untuk beberapa kelab Liga Super memburu khidmat mereka bagi membantu menguatkan bahagian serangan.

Berikut adalah antara penyerang import berstatus ejen bebas Liga 1 Thailand yang boleh dipertimbangkan oleh pasukan-pasukan bertanding di Liga Super:

1) Danilo Alves

WhatsApp Image 2023-06-01 at 22.44.24

Alves antara lima penjaring terbanyak Liga 1 Thailand musim 2022/23.

Penyerang Brazil, Danilo Alves baru-baru ini diumumkan menjadi antara lapan pemain yang dilepaskan pasukan Chonburi FC selepas menyaksikan kelab tersebut menghabiskan saingan liga dengan menghuni tempat keenam.

Mengikut kenyataan rasmi Chonburi, selain Danilo Alves, Go Seul-ki, Yoo Byung-soo, Renato Kelic, Faiq Bolkiah, Dennis Murillo, Diego Bardanca dan Jesse Curran turut dilepaskan selepas kontrak mereka berakhir.

Musim lepas, pemain berusia 32 tahun itu merekodkan 23 penampilan dalam liga dan menyumbat 14 gol dan menghasilkan empat hantaran bantuan buat skuad The Sharks.

Lebih mengagumkan apabila bekas penyerang Suwon FC itu juga tersenarai dalam penjaring terbanyak Liga 1 Thailand musim 2022/23 dengan perbezaan lima jaringan gol sahaja daripada penjaring tertinggi iaitu Supachai Chaided.

2) Jonathan Bolingi

WhatsApp Image 2023-06-01 at 22.44.33

Bolingi dilepaskan daripada kelab susulan isu pergaduhannya.

Rakan sepasukan Dion Cools di Buriram United, Jonathan Bolingi antara solusi terbaik buat pasukan seperti Perak FC, Sri Pahang dan Kelantan FC untuk mencari penyerang berbisa.

Buktinya pemain kebangsaan dari Congo itu menjaringkan 26 jaringan gol dan sembilan hantaran bantuan sepanjang berkhidmat selama hampir tiga tahun bersama Buriram.

Di sebalik sentuhan tajam yang dimiliki pemain berketinggian 1.90 meter itu, masih ada sisi gelap dalam kerjaya Bolingi apabila dia terlibat dengan insiden pergaduhan bersama pembantu jurulatih Bangkok United.

Susulan kejadiaan yang berlaku ketika pentas akhir Buriram menentang Bangkok United untuk saingan Piala FA, Bolingi digugurkan daripada pasukan gergasi Thailand.

3) Crislan Henrique

WhatsApp Image 2023-06-01 at 22.45.46

Crislan berjaya menjaringkan enam gol dalam 14 perlawanan buat Nakhon Ratchasima. — Agensi

Selepas tersingkirnya Nakhon Ratchasima FC daripada saingan Liga 1 Thailand, beberapa pemain berkualiti pasukan itu termasuk penyerang import, Crislan Henrique juga berstatus ejen bebas.

Pemain berusia 31 tahun itu berjaya menjaringkan enam gol dalam 14 perlawanan dan menghadiahkan satu hantaran buat pasukannya pada musim 2022/23.

Selain daripada itu, bekas pemain Bucheon FC mempunyai banyak pengalaman bersama pasukan-pasukan di Brazil, Portugal, Jepun dan Korea Selatan.

Justeru itu, dengan pengalaman pemain yang mempunyai harga pasaran sebanyak RM1.5 juta itu, adalah wajar jika dia menjadi antara calon terbaik buat calon penyerang Liga Super. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram