Fandi pertahan Sri Pahang bukan pasukan harapkan tuah, nasib semata-mata


  • Podium
  • Jumaat, 02 Jun 2023

Fandi Ahmad ketika memberi arahan kepada pemain Sri Pahang, Azam Azih di tepi padang.

LAPTOP Cabuk menemui pembaca lagi. Berinspirasikan minda tua yang mungkin sudah berkarat, karya ini dan seterusnya akan cuba menyingkap cerita di sebalik tabir dan sesuatu yang mungkin terlepas daripada pengamatan ramai untuk sama-sama memeriah dan meraikan Liga Malaysia musim 2023.

DI SEBALIK ketenangan, senyuman yang tak lekang di bibir, tersembunyi perasaan yang berkecamuk. Rasa terkilan, kecewa dan sesekali mungkin marah, Fandi Ahmad melindunginya dengan cukup bersahaja, seolah-olah dia seorang yang tiada emosi.

Barangkali kerana itu juga, dia mudah disalahertikan hingga ada kala sikap terlalu berterus-terangnya untuk mengambil hati penyokong yang rata-ratanya fanatik, seakan-akan memakan diri.

Di antara sasaran untuk mendapatkan kemenangan pasukan dan memuaskan hati penyokong yang penanda aras mereka terlalu tinggi, jelas tiada konflik dalam dirinya bahawa tiga mata – tanpa mengira jurang gol atau gaya permainan – lebih menjadi keutamaan.

Satu pengakuannya baru-baru ini yang Sri Pahang kendaliannya “kadang-kadang menang nasib” turut dieksplotasikan seolah-olah mereka tidak pun layak berada di tangga ketiga carta liga dengan himpunan 25 mata, satu mengatasi Sabah FC di tangga keempat.

Kesebelasan utama Sri Pahang FC ketika berdepan JDT pada Rabu.

Tambahan pula, lima daripada kemenangan mereka – mengatasi PDRM FC 2-1, Kelantan United 1-0, Kuching City 1-0, Terengganu FC 2-1 dan Penang FC 1-0 – diraih dengan kelebihan setipis satu gol. Hanya kemenangan ke atas Kelantan FC (4-1) dan Perak FC (3-0) berkelebihan tiga gol.

“Ya, saya memang ada bercakap mengenai kami bernasib baik,” kongsinya dengan Laptop Cabuk.

“Tapi sebenarnya ‘bernasib baik’ bukanlah perkataan sesuai yang saya maksudkan atau seperti yang difahami ramai.”

Ini merujuk kepada satu kenyataannya yang dipetik laman sripahangfc.com.my pada 10 Mei lalu bahawa skuad Tok Gajah – yang ketika itu mengekalkan rekod tanpa kalah selepas 10 perlawanan liga -- kadang kala kita dibantu faktor nasib.

Antara aksi Sri Pahang FC dan JDT pada Rabu.

Memperjelaskan maksud sebenarnya, Fandi berkongsi bahawa Sri Pahang jarang sekali dapat menampilkan kesebelasan terbaiknya dan kerap turun dengan hanya Kpah Sherman selaku penyerang tunggal.

Kerana itu, katanya, pemain-pemainnya jarang dapat menyerlahkan permainan terbaik mereka, malah dilihat kerap bergelut hingga barisan Pantai Timur itu dianggap sebagai pasukan untuk satu separuh masa.

“Saya tidak gemar untuk bercakap besar. (Pada hakikatnya) kami hanya sebuah pasukan yang sederhana (dibandingkan dengan barisan hebat Pahang pada masa lalu), sebuah pasukan yang telah bekerja keras tapi mungkin tidak disedari ramai.

“Tapi kami tetap berjuang habis-habisan untuk dapatkan keputusan yang baik. Orang kata kami selalu bernasib baik tapi sebenarnya kami bukanlah pasukan yang bergantung kepada tuah semata-mata,” ujarnya.

Perlawanan dengan Kelantan United FC di Stadium Darul Makmur, Kuantan pada 10 April yang dimenangi 1-0 hasil jaringan Stefano Brundo pada minit ke-90+3 adalah antara yang disebutkannya mudah menimbulkan tanggapan sedemikian.

“Sesetengah orang, termasuk penyokong kami sendiri, melihatnya sebagai kami bernasib baik. Saya pula lihatnya sebagai usaha keras pemain-pemain untuk terus menekan dan tidak berputus asa hingga wisel penamat.

“Ada kalanya kami lebih suka simpan bola dan menunggu detik terbaik untuk melakukan penyudahan tapi tidak ramai yang sedar perkara itu.

“Di peringkat (saingan tertinggi) seperti ini, tiada siapa yang mahu kalah, lagi-lagi kemenangan terlalu penting. Jadi, pada saya, sama ada kami bermain dengan cantik atau jelek, perkara paling penting ialah untuk tidak kalah,” katanya.

Fandi Ahmad ketika beraksi bersama FC Groningen.

Sebagai perbandingan, Sri Pahang menamatkan Liga Super musim lalu di tangga ketujuh dengan 28 mata tapi untuk musim ini, mereka sudah pun menghampiri jumlah kutipan mata itu di samping kekalahan pertama – 0-2 kepada Johor Darul Takzim (JDT) – hanya menyusul selepas 12 perlawanan.

Fandi turut berkongsi falsafahnya dari zaman bergelar pemain hinggalah menggalas tugas ketua jurulatih kini untuk memberi sehabis daya demi mencapai kemenangan.

“Dalam bola sepak, anda tak boleh putus asa. Saya beritahu pemain-pemain saya supaya berikan semua yang mereka ada dalam 50 hingga 60 minit permainan. Kita ada sehingga lima penggantian pemain, jadi mereka tak perlu bimbang.

“Jadi, sebagai sebuah pasukan yang sederhana saja, pemain bergantung kepada satu sama lain.

Dalam pada itu pun, pertahanan kami agak OK dengan rekod bolos kami (cuma sembilan gol) adalah antara yang terbaik.

“Tapi saya akui kami ada masalah di bahagian tengah dan serangan. Untuk menampung kekurangan itu, kami cuba untuk minimumkan kekuatan lawan. Sebab itulah juga penggunaan taktik yang betul amat penting buat kami,” katanya.

Fandi, yang pernah berkelana hingga ke Belanda bersama FC Groningen dan Niac Mitra dalam Liga Utama Indonesia ketika bergelar pemain, mengakui kekurangan daripada segi individu dalam barisan Sri Pahang FC menuntutnya terus bereksperimen dalam menampilkan gandingan terbaik.

Aguero kini sedang dalam fasa pemulihan selepas mengalami kecederaan.

Setakat ini, katanya, pasukannya telah diuji dengan pelbagai formasi, daripada tiga, empat hingga lima pemain di barisan pertahanan manakala barisan tengah dan serangan bergantung kepada penggiliran pemain yang cergas untuk diturunkan.

“Kami telah bermain beberapa perlawanan tanpa Lucas (da Silva) dan Sergio (Aguero) hingga Kpah kerap bersendirian memimpin serangan.

“Di barisan kejurulatihan (termasuk pengurus, Datuk Dollah Salleh, serta dua penolong jurulatih, Datuk Ahmad Yusof dan Ahmad Shaharuddin Rosdi), kami perlulah mencari jalan sekalipun tanpa pasukan yang penuh. Suka tak suka, kami perlu uruskan dengan pemain yang ada,” tambahnya.

Kepada Fandi, penggiliran yang dibuat secara terpaksa itu kerap menyaksikan skuad Tok Gajah bergelut untuk menampilkan permainan terbaiknya dalam satu-satu separuh masa sambil pemain tercari-cari rentak.

“Seingat saya, perlawanan menentang Terengganu adalah satu-satunya yang kami konsisten sepanjang 90 minit dan selebihnya kami hanya bagus dalam satu separuh masa.

“Tapi mengambil kira semua itu, saya harus gembira dengan komitmen dan kerjasama berpasukan yang ditunjukkan sejauh ini,” katanya. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram