Sejarah hitam buat TRW — Annuar Musa


  • Podium
  • Sabtu, 03 Jun 2023

Annuar Musa memegang jawatan sebagai Presiden Kafa dari 2009 hingga 2016.

KEKALAHAN 1-4 kepada Kelantan United boleh dianggap sebagai titik paling gelap buat Kelantan FC musim ini memandangkan mereka kini berada di kedudukan tercorot Liga Super.

Tekanan pastinya dirasai pihak pengurusan, terutamanya pemilik kelab, Norizam Tukiman rentetan daripada isu luar padang yang membelenggu kelab itu.

Isu kebajikan, kelewatan pembayaran gaji serta masa depan tidak tentu merupakan antara dikatakan punca utama pasukan Pantai Timur tersebut berada dalam kemelut tersendiri.

Situasi yang semakin meruncing itu juga memberi kesan mendalam dengan penyokong mula mencipta jurang antara mereka dengan kelab itu.

350954581_989041575462151_7864203037067701370_n

Kelantan FC mengalami kekalahan memalukan kepada Kelantan United. Facebook/Kelantan United FC

Bagi mereka, keazaman yang cetek serta pengurusan tidak teratur daripada Norizam menyebabkan nasib buurk yang menimpa Kelantan FC semakin memburuk.

Lebih merisaukan lagi, sebahagian besar daripada pengikut setia skuad The Red Warriors (TRW) mahu pihak atasan dirombak agar menghidupkan semula peluang mereka ketika ini.

Tidak cukup dengan itu, mereka juga mengharapkan agar Norizam yang juga dikenali sebagai Zamsaham supaya tidak lagi menjadi pemilik pasukan berkenaan serta diganti dengan mana-mana individu bersesuaian.

Antara yang dipetik penyokong ialah bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa apabila mereka berasakan figura tersebut cukup penting di sebalik sejarah kegemilangan kelab Pantai Timur itu.

Beliau yang memegang jawatan tersebut dari tahun 2009 sehingga 2016 sememangnya cukup disegani selepas meraih beberapa kejayaan sepanjang tempoh berkenaan.

nuar-musa

Annuar (kanan) merupakan antara figura penting buat Kelantan FA.

Gelaran 'treble' yang diraih pada 2012 merupakan antara titik paling gemilang buat Annuar dan Kelantan FA yang pastinya sukar untuk dilupakan peminat bola sepak tempatan.

Selain itu, kestabilan sepanjang berada di bawah bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu cukup mengujakan yang menjadi tulang belakang buat kejayaan skuad TRW.

Baru-baru ini, beliau sekali lagi meluahkan pandangannya mengenai status terkini Kelantan FC selepas kekalahan kepada Kelantan United pada Jumaat.

"Sejarah hitam buat TRW, carilah jalan pulihkan maruah pasukan," tulisnya menerusi satu hantaran di Facebook peribadinya pada Sabtu.

Perkara tersebut seakan-akan menyentuh hati penyokong kelab berkenaan dengan rata-rata daripada mereka cukup merindui sentuh kepimpinan Annuar.

Selepas beberapa tahun bergiat aktif sebagai Presiden Kafa, bekas Ahli Parlimen Ketereh itu memilih untuk melepaskan jawatan tersebut dengan isu kewangan mula berlaku.

Posisi itu kemudiannya digantikan seorang usahawan ternama, Bibi Ramjani Ilias Khan sebelum beberapa individu lain turut mencuba membawa kembali zaman kegemilangan TRW. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram