Kalah besar dengan skuad 'adik', fans TRW tekad mahu berpaling arah


  • Podium
  • Sabtu, 03 Jun 2023

Kelantan United mampu menarik nafas lega apabila tidak lagi berada di tangga tercorot Liga Super. — Facebook/MFL

NASIB buruk terus menimpa Kelantan FC apabila mereka merekodkan kekalahan ketujuh berturut-turut dalam Liga Super apabila dimalukan Kelantan United FC dengan keputusan 1-4.

Perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kelantan pada Jumaat itu menyaksikan skuad Kijang Hijau mendahului menerusi jaringan Deivid Silva pada minit ke-21.

Pemain kebangsaan Filipina, OJ Porteira kemudiannya melebarkan jurang apabila menjaringkan gol ketiganya dalam Liga Super lima minit kemudian.

Bagaimanapun, perlawanan terpaksa ditangguhkan pada minit ke-37 selepas hujan lebat yang melanda memaksa pengurusan perlawanan menghentikan aksi buat sementara.

Tetapi, dengan perbincangan berlanjutan, permainan dihentikan selama lebih 40 minit bagi memastikan perlawanan boleh diteruskan.

Skuad The Red Warriors (TRW) bagaimanapun cuba mengikat kedudukan apabila penyerang kelahiran Nigeria, Ismahel Akinade menjaringkan gol menerusi penalti pada masa kecederaan separuh masa pertama.

349458662_969871064056378_5998105514014251990_n

Penyokong Kelantan FC pastinya cukup kecewa dengan prestasi semasa skuad TRW. Facebook/TRW Kelantan FC

Namun, jaringan kedua peribadi OJ Porteira memastikan kemenangan pertama dimiliki Kelantan United sebelum Syazwan Zainon turut menambah luka buat kelab kendalian Frank Bernhardt.

Kekalahan itu menyaksikan Kelantan FC jatuh ke tangga tercorot Liga Super selepas 13 perlawanan sementara Kelantan United memanjat ke tangga ke-12.

Melihat kepada ruangan komen di laman media sosial kedua-dua pasukan, kekecewaan sememangnya dirasakan penyokong TRW ke atas nasib pasukan itu.

Ini kerana mereka berasakan kekalahan kepada skuad Kijang Hijau yang dianggap sebagai 'adik' itu sukar untuk diterima memandangkan masing-masing mempunyai jurang besar dari segi reputasi di luar padang.

"Kemas Kelantan United, tahun depan bolehlah luaskan lagi pengaruh kerana ramai penyokong dah beralih sokongan," kata Abdul Zack.

"Kemas betul, gaya permainan yang cukup kemas, memang layak untuk mereka menang. Abang tak abang, lawan semacam kelab yang memalukan itu," kata Ajim Azhim.

"Macam manalah kita boleh tak menang sebelum ni? Cara permainan memang cukup bergaya, harap lepas ni boleh terus membawa pulang mata," kata Halim Ghani.

Kelantan United bakal berdepan Selangor FC di laman sendiri untuk aksi minggu ke-14 pada Rabu sementara Kelantan FC akan berkunjung ke Stadium Negeri, Sarawak untuk berdepan Kuching City FC pada Khamis. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram