PRESTASI yang ditampilkan oleh barisan pemain Sabah FC dilihat kurang cemerlang apabila mengalami kekalahan dalam Piala FA baru-baru ini.
Skuad Kuala Lumpur City FC (KL City FC) berjaya menundukkan Sang Badak di laman sendiri dengan keputusan 2-1 pada perlawanan kelayakan separuh akhir Piala FA pada Ahad.
Pasukan Sabah FC hanya mampu memberikan tekanan pada babak pertama perlawanan namun tidak dapat mengekalkan momentum tersebut hingga perlawanan ditamatkan yang berakhir dengan kekalahan.
Rozaimi ketika beraksi bersama pasukan kebangsaan dan memenangi anugerah Kasut Emas.
Bukan sahaja bahagian pertahanan yang menjadi masalah utama The Rhinos, namun, jentera serangan turut berdepan isu tersendiri dengan penyudah boleh dikatakan tumpul setakat ini.
Ramai penyokong Sang Badak tidak berpuas hati dengan corak permainan dan taktikal yang digunakan oleh pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee yang seolah-olah tidak belajar dari kesilapan apabila sekadar berkongsi satu mata ketika menentang Terengganu FC pada perlawanan ke-11 dalam saingan Liga Super.
Penyokong setia Sang Badak memberikan pendapat untuk menggunakan kembali khidmat anak jati kelahiran Sabah, Rozaimi Abdul Rahman yang sememangnya mempunyai pengalaman luas dalam dunia bola sepak tanah air.
"Biar betul Rozaimi is back, sebab Rozaimi pun bekas anak didik Datuk Ong Kim Swee juga ini dan mantap lah kalau dia join skuad utama Sabah FC," kata Yusri Yusof Yusri.
"Baik lagi ambil Rozaimi daripada ambil import yang entah apa-apa. Ngam itu si Neymar Sabah go go go Rozaimi. Mantap Neymar is back," kata JuhanisFirdaus Angutim.
"Harap dia masih boleh lakukan freekick yang hebat masa dia join pasukan Harimau Muda," kata David Liau.
"Viralkan gambar ini kepada media sosial Sabah FC dan Youtube, Twitter, Facebook," kata Mimi Hensem yang mahu kempen memanggil semula Rozaimi dipanjangkan kepada pihak pengurusan.
Pemain berketinggian 1.75 meter itu mempunyai kelebihan sebagai peledak gol kerana pernah muncul sebagai penjaring terbanyak dalam Kelayakan Piala Asia B-22 2012 di Yangon, Myanmar dengan mencetak 10 jaringan.
Selain itu, Rozaimi juga pernah memenangi anugerah Kasut Emas ketika perlawanan Malaysia menentang Myanmar pada Pestabola Merdeka 2013 sebagai penjaring terbanyak dengan tiga gol.
Oleh itu, khidmat Rozaimi pastinya ditunggu-tunggu oleh peminat bola sepak tempatan khususnya penyokong Sang Badak agar dibawa masuk pada jendela perpindahan Julai nanti.
Namun, berita yang diharapkan mungkin tidak menjadi kenyataan memandangkan pemain yang pernah mendapat jolokan ‘Neymar Malaysia’ dikatakan masih bergelut untuk mencapai prestasi asal susulan pernah dilanda kecederaan serius kerana terlibat kemalangan jalan raya pada 2015.
Sabah FC kini menduduki tangga keempat Liga Super, mengumpul 24 mata selepas mencatatkan tujuh kemenangan, tiga seri dan dua kalah.
The Rhinos akan berkunjung ke Darul Aman pada 2 Jun ini untuk berdepan Kedah Darul Aman FC dan perlu mengelak satu lagi kekalahan agar tidak dipintas kelab utara tanah air itu yang dipisahkan dua mata sahaja di tempat kelima. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram