DUA pasukan Liga Malaysia (Liga-M) terpaksa melupakan hajat untuk menggunakan khidmat pemain tengah kebangsaan Jordan, Mahmoud al-Mardi.
Arkitek tengah itu sebelum ini kembali menjadi rebutan skuad Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dan Selangor FC selepas khidmatnya tidak lagi diperlukan di Qadsia SC selepas kontraknya ditamatkan.
Perpisahan bersama kelab di Liga Kuwait itu disahkan sendiri olehnya di laman rasmi Facebook miliknya, MahMoud Al Mardi yang mana memuat naik ucapan penghargaan kepada Qadsia.
Al-Mardi pernah beraksi bersama KDA FC. — Instagram/Al-Mardi
“Kontrak saya dengan kelab Al-Qadsiyah telah tamat. Saya berterima kasih kepada pengurusan kelab, pemain dan penonton. Saya berbesar hati untuk mewakili kelab ini dan saya mengucapkan selamat maju jaya pada hari-hari mendatang,” kongsinya.
Berita perpisahan tersebut menjadi bualan hangat peminat bola sepak tanah air terutamanya penyokong Hijau Kuning yang mana merindukan kelincahan dan sentuhannya dalam saingan Liga-M.
Namun begitu, pasukan Sang Kenari dan Gergasi Merah terpaksa berputih mata apabila pemain berusia 29 tahun itu memilih untuk kembali ke negara kelahirannya baru-baru ini.
Perkara itu disahkan di laman rasmi Facebook Al-Hussein SC mengenai kedatangan kembali tonggak utama skuad tersebut yang dibanjiri oleh kata-kata semangat penyokong negara itu.
Sebelum ini, pemain yang berketinggian 1.78 meter itu pernah membantu pasukan KDA FC ketika pusingan kedua Liga Super dan kejohanan Piala AFC musim lepas.
Al-Mardi merekodkan sembilan jaringan dalam 19 perlawanan ketika bersama Sang Kenari namun ditamatkan kontrak pada hujung musim lalu.
Dia juga mempunyai kebolehan untuk beraksi di beberapa posisi di bahagian serangan antaranya sayap kiri dan kanan serta pemain tengah menyerang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram