AKSI suku akhir Piala FA antara Negeri Sembilan FC dan Selangor FC pada 27 Mei lalu sedikit dijejaskan akibat kecederaan yang dialami kapten skuad Jang, Zaquan Adha Abd Razak.
Pertembungan yang berlangsung di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Negeri Sembilan menyaksikan ribuan penyokong terpaksa melihat pemain itu dibawa keluar di atas pengusung pada penghujung permainan.
Hal berkenaan pastinya cukup meruntun hati penyokong skuad Jang dengan rata-rata pengikut setia bola sepak tanah air juga sempat menyampaikan kata-kata semangat buatnya.
Ini kerana ia bukanlah kali pertama pemain tersebut mengalami kecederaan serius seperti itu apabila dia pernah mengalami kecederaan ligamen krusiat anterior (ACL) sebanyak empat kali sebelum ini.
Namun, baru-baru ini, pengesahan daripada pihak perubatan mendapati Zaquan mengalami situasi sama selepas pemeriksaan lebih terperinci dilakukan.
Karier Zaquan berada dalam bahaya selepas kecederaan berkenaan. — Facebook/Negeri Sembilan FC
Perkara itu menyebabkan penyerang berusia 35 tahun itu mengalami kecederaan sama sebanyak lima kali dengan kali terakhir ia berlaku pada 2019.
Ia disahkan menerusi satu hantaran di Instagram peribadi pemain berkenaan yang menerima respons cukup menyentuh hati daripada pengikutnya.
"Alhamdulillah, saya terima ujian ini dengan penuh reda sebab saya tahu ALLAH sayang saya. Ini kecederaan ACL saya yang kali kelima.
"Doakan yang baik-baik untuk saya dan keluarga, insya-ALLAH ada yang lebih baik di hadapan," tulisnya.
Hantaran berkenaan jelas menerima kata-kata semangat daripada pengikut setia bola sepak tanah air dengan beberapa pemain lain turut sempat menghantar doa buatnya.
"Semoga diberi kesembuhan seawal mungkin fighter," kata bekas penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat.
"Get well soon bro, stay strong," tulis penyerang Sabah FC, Darren Lok dengan kedua-dua mereka pernah beraksi bersama-sama buat Harimau Malaya.
"Semoga diberi kesembuhan dengan segera, Zaquan," kata bekas pertahanan Johor Darul Takzim (JDT) dan skuad kebangsaan Singapura, Baihakki Khaizan.
Zaquan yang juga dikenali ramai sebagai Adik pernah mewakili beberapa pasukan sepanjang tempoh kariernya, termasuk Kedah FA, Kuala Lumpur City dan Perak FA.
Di peringkat kebangsaan pula, pemain dengan ketinggian 1.76 meter itu pernah menyarung jersi Harimau Malaya sebanyak 49 kali dengan menjaringkan 12 gol. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram