'Ibarat lawan Brazil', fans Indonesia teruja Gergasi Merah, Persebaya Surabaya bakal beradu tenaga


  • Podium
  • Khamis, 01 Jun 2023

Selangor FC dan Persebaya Surabaya dijangka mengadakan perlawanan persahabatan.

JIKA kita bercakap mengenai Selangor FC dan Indonesia, pastinya penyokong-penyokong Gergasi Merah akan terimbau zaman kegemilangan duo Sang Garuda iaitu Bambang Pamungkas dan Elie Aiboy.

Ketika beraksi dengan Selangor, Bambang mencipta gandingan mantap bersama Elie Aiboy sehingga mereka mendapat gelaran 'The Indonesian Connection' oleh penyokong-penyokong Gergasi Merah.

Bukan sekadar gelaran, 'The Indonesian Connection' turut membantu Gergasi Merah muncul juara Liga Perdana Malaysia sekali gus melayakkan Selangor untuk beraksi di Liga Super pada musim berikutnya.

Selain muncul juara Liga Perdana, duo Indonesia tersebut juga membantu Selangor menjuarai Piala Malaysia dan juga Piala FA pada musim pertama di Selangor pada 2005.

Jadi sejarah berkaitan Selangor dan Indonesia tidak boleh dipisahkan lagi yang mana legasi 'The Indonesian Connection' diteruskan oleh Andik Vermansyah, Evan Dimas dan Ilham Udin Armyn.

Kini Selangor sekali lagi membuatkan penyokong Indonesia tidak senang duduk apabila salah sebuah pasukan di negara itu dipercayai sedang melakukan rundingan untuk mengadakan perlawanan persahabatan bersama skuad kendalian Tan Cheng Hoe.

Selangor FC

Nilai pasaran semasa kedua-dua pasukan.

Menerusi perkongsian Facebook, Bonek.For.Persebaya, mereka mengatakan Persebaya Surabaya FC dan Selangor FC sedang berkomunikasi secara intensif untuk mengadakan perlawanan persahabatan.

Perlawanan persahabatan ini ternyata mendapat respons positif daripada penyokong Persebaya Surabaya yang setuju jika perkara ini terjadi.

"Bila nak mainnya, sesuai dengan kualiti pasukan Persebaya," kata Michael Moretti.

"Indonesia datangkan Argentina, Persebaya ibarat bawa Brazil untuk perlawanan persahabatan," jelas Sego Mambu.

"Ayuh Persebaya bagi tentangan kepada Selangor, jangan bagi malu nama Indonesia," ujar Iful Putra Sedeng.

"Musuh utama JDT ini di Liga Super Malaysia, bakal menguji kualiti Persebaya Surabaya di tempat lawan, terbaik," luah Yuda.

Pada musim 2022/23, Persebaya Surabaya menghabiskan saingan Liga Indonesia di tempat kelima dengan merekodkan 18 kemenangan, sembilan seri serta tujuh kekalahan.

Persebaya Surabaya musim ini dibimbing oleh Aji Santoso dengan dilengkapi empat pemain import. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram