Ada pendarahan dalam lutut, Zaquan Adha 'update' keadaan terkini, mohon maaf kepada penyokong


  • Podium
  • Selasa, 30 Mei 2023

Keadaan terbaharu Zaquan Adha selepas dia ditimpa kecederaan dalam saingan Piala FA menentang Selangor FC.

NEGERI Sembilan FC terpaksa melupakan khidmat kapten mereka, Zaquan Adha Abdul Radzak selepas pemain berusia 35 tahun itu mengalami kecederaan dalam saingan Piala FA, pada Sabtu.

Menerusi satu hantaran terbaharu di Instagram, bekas penyerang kebangsaan itu memaklumkan bahawa dia mengalami pendarahan dalam lutut, namun perlu menjalani ujian imbasan magnetik resonans (MRI) bagi mengetahui tahap kecederaan sebenar.

Menurut penyerang skuad Jang itu, ketika ini, dia harus menunggu sehingga bengkak pada lutut reda sebelum boleh menjalani ujian berkenaan.

"Hari ini (Selasa) saya baru ke hospital untuk doktor sedut cecair di dalam lutut, ternyata darah yang keluar.

"Maknanya memang ada pendarahan di dalam lutut...selepas ini saya akan tunggu bengkak surut untuk buat MRI," katanya dalam entri di Instagram Story itu.

WhatsApp Image 2023-05-30 at 14.17.08

Tangkap layar status Zaquan Adha di Instagram Story. — Instagram

Zaquan mengakui dia sedikit beremosi selepas ditimpa kecederaan tersebut yang menyaksikan dia perlu berehat daripada baki saingan liga.

"Terima kasih semua yang mendoakan saya, maaf kalau saya tak angkat call dan reply WhatsApp untuk beberapa hari ini.

"Emosi saya agak terganggu selepas apa yang terjadi," katanya.

Menurut Zaquan lagi, apa pun keputusan ujian kelak, dia akan terima dengan hati terbuka dan penuh.

"Saya percaya ada hikmah di sebalik yang terjadi. Maafkan saya kalau selama ini ada salah dan silap. Mungkin ada hati yang saya sakiti tanpa sedar. Doakan yang baik-baik untuk saya dan keluarga," ujarnya.

photo1685429366 (1)

Zaquan Adha ketika berada di hospital. — Instagram

Zaquan yang beraksi sebagai pemain gantian pada perlawanan berkenaan ditimpa kecederaan selepas perlanggaran dengan pertahanan Selangor FC, Fazly Mazlan.

Akibat perlanggaran itu, Fazly dikatakan terjatuh dan menghempap lutut Zaquan yang menyaksikan pemain itu terpaksa diusung keluar padang.

Lebih malang, kecederaan itu agak serius yang mana Zaquan ditempatkan di zon kuning sebuah hospital tempatan selepas perlawanan dengan difahamkan dia mengalami koyak ligamen lutut anterior (ACL).

photo1685429366

Zaquan Adha ketika berada di hospital. — Instagram

Zaquan yang juga pernah menyarung jersi Johor Darul Takzim bersama pasangan kembarnya, Aidil Zafuan, pernah menjalani pembedahan ACL sebanyak empat kali sepanjang kariernya sebagai pemain bola.

Suami kepada Ayu Raudhah itu pernah berkongsikan bahawa ACL dianggap kecacatan kekal yang mempengaruhi kestabilan badan dan boleh menyebabkan dia sering jatuh atas padang.

ACL merupakan salah satu daripada empat bahagian ligamen yang mengikat lutut dengan fungsinya menstabilkan lutut daripada pergerakan melampau dan mengelakkan tulang betis (tibia) menggelongsor jauh daripada tulang paha (femur). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram