NEGERI Sembilan FC (NSFC) membuktikan kerja keras mereka selama dua minggu liga berehat berhasil apabila menumpaskan Kuala Lumpur (KL) City FC 2-1 dalam aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada Ahad.
Walaupun menang tipis namun perlawanan ke-10 di hadapan ribuan penyokong itu sudah cukup memberikan tiga mata berharga buat skuad Jang dan ia merupakan kemenangan ketiga mereka pada saingan musim ini.
Kali terakhir pasukan di bawah kendalian K.Devan mengutip tiga mata adalah ketika perlawanan menentang Kelantan FC pada 1 April lalu yang menyaksikan skuad Jang menang 4-2 menewaskan kelab Pantai Timur tersebut.
Jaringan pertama NSFC dicetak oleh ketua pasukan, Mohamad Zaquan Adha Abd. Razak pada minit ke-73 dan di penghujung babak kedua, tandukan Muhammad Safuan Baharudin cukup memberikan senyuman kepada penyokong skuad Jang.
Namun langit tidak selalunya cerah buat Negeri Sembilan apabila difahamkan tonggak pertahanan, Herold Mark Goulan dilaporkan terpaksa berehat dalam tempoh masa yang panjang susulan tahap kesihatannya semakin merosot.
Berita mendukakan itu dilaporkan oleh wartawan Astro Arena, Syifa Nasir pada laman Twitter miliknya pada Isnin.
Goulan sudah mencetak dua jaringan gol pada musim ini. — Facebook/NSFC
"Tahap kesihatan yang memburuk dan perlu melakukan pembedahan dalam kadar segera mengakibatkan pemain import, Mark Goulon terpaksa direhatkan dlm tempoh masa yang panjang. Perbincangan akan dilakukan bersama untuk mengesahkan statusnya dalam skuad Negeri Sembilan," tulisnya.
Hantaran tersebut menjawab segala persoalan penyokong yang mencari-cari kelibat bek tengah kelahiran Perancis itu pada aksi skuad Jang menang menentang pasukan Warga Kota di Paroi.
Goulan sering menghiasi kesebelasan utama skuad Jang sejak menyertainya pada musim 2022 dan musim lepas pemain berusia 34 tahun itu muncul sebagai pertahanan paling berbisa di depan gol dengan mencetak sebanyak enam jaringan dan tiga hantaran bantuan.
Musim ini, bekas tonggak Sri Pahang itu masih menunjukkan prestasi terbaik dengan menyumbang dua jaringan gol dan dua hantaran bantuan untuk skuad Jang selepas lapan perlawanan diturunkan.
Jika benar NSFC terpaksa melepaskan Goulan, ia merupakan kehilangan besar di benteng pertahanan mahupun di bahagian serangan dan skuad Jang pastinya perlu mencari pengganti yang mampu menyamai kualiti import berbadan sasa itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram