MASALAH serangan tumpul di Negeri Sembilan FC (NSFC) semakin tenat selepas salah seorang tonggaknya, Zaquan Adha mengalami kecederaan teruk dalam aksi menentang Selangor FC dalam saingan Piala FA tempoh hari.
Baru diturunkan sebagai pengganti pada minit ke-78 ketika perlawanan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, penyerang berusia 35 tahun itu mengalami kecederaan selepas perlanggaran dengan pertahanan Selangor, Fazly Mazlan.
Akibat perlanggaran itu, Fazly dikatakan terjatuh dan menghempap lutut Zaquan yang menyaksikan pemain itu terpaksa diusung keluar padang.
Lebih malang, kecederaan itu agak serius yang mana Zaquan ditempatkan di zon kuning sebuah hospital tempatan selepas perlawanan dengan difahamkan bahawa pemain berusia 35 tahun itu mengalami koyak ligamen lutut anterior (ACL).
Hazwan (kanan) dilihat calon sesuai untuk mengisi tempat Zaquan. — Facebook/ JDT
Ketiadaan penyerang berkualiti terus menjadi duri dalam daging kepada skuad The Jangs yang bergelut dengan masalah serangan berkualiti termasuk ketiadaan import.
Ketika ini, selain Zaquan, K Devan mengharapkan Mahali Jasuli, Casagrande dan Amirul Hakimi Rosli serta pemain sayap, Shahrel Fikri di bahagian serangan, namun untuk memperbaiki kedudukan NSFC ke kelompok lebih baik, seorang penyerang prolifik amat diperlukan pasukan.
Justeru, ketika ini, penyerang Johor Darul Takzim II (JDT II), Hazwan Bakri dilihat calon sesuai untuk mengisi tempat Zaquan memandangkan kedua-duanya memiliki kematangan hampir sama di atas padang.
Buat masa ini, peledak berusia 31 tahun tersebut beraksi di skuad kedua JDT sedangkan dengan pengalamannya di Liga Malaysia (Liga M), ramai berasakan dia sepatutnya bermain di Liga Super.
Justeru, tidak salah jika pengurusan NSFC mendapatkan khidmat pemain itu secara pinjaman dengan kelab Harimau Selatan menjelang jendela perpindahan kedua nanti.
Untuk rekod, pada 2015, Hazwan pernah mendapat anugerah pemain paling bernilai (MVP) dan membantu skuad Selangor FC ketika itu menjuarai Piala Malaysia.
Khidmatnya tentu boleh menjadi penawar kepada kelab-kelab yang memiliki masalah ketumpulan penyudah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram