Selepas buktikan ketajaman depan pintu gol, Ismaheel kini ada peranan baharu bersama TRW


  • Podium
  • Jumaat, 02 Jun 2023

Ismaheel memikul tanggungjawab besar untuk menjaringkan gol buat skuad TRW musim ini. — Facebook/TRW Kelantan FC

AKSI 'Derby Kelantan' antara Kelantan United dan Kelantan FC pada Jumaat sepatutnya menjadi satu pertembungan hangat memandangkan penyokong bola sepak dari negeri tersebut dikenali dengan sifat fanatik mereka.

Namun, ketika ini, debaran seakan-akan tidak dirasai pengikut setia kedua-dua pasukan berkenaan memandangkan mereka berada dalam episod gelap tersendiri.

Isu pengurusan, persembahan lemah longlai di atas padang serta kualiti pemain menyaksikan dua pasukan berkenaan berada di kedudukan ke-13 dan ke-14 Liga Super ketika ini.

Perhatian lebih pastinya diberikan terhadap skuad The Red Warriors (TRW) berikutan laporan-laporan yang menceritakan kisah gelap di sebalik naib juara Liga Perdana 2022 itu.

Meskipun sudah melakukan perubahan demi perubahan di luar padang, mereka masih bergelut secara keseluruhan apabila mencatatkan lima kekalahan berturut-turut ketika ini.

350847460_985549295775123_719173996569329494_n

Kelantan FC dilaporkan berada dalam kemelut pengurusan ketika ini. Facebook/ZAMSAHAM

Bagaimanapun, masih ada segelintir penyokong tegar yang seakan-akan enggan mencipta jurang antara mereka dengan kelab walaupun sedang berada dalam lembah kegelapan.

Ini kerana mereka tidak mahu terlepas untuk memberi sokongan terhadap pemain yang berada di atas padang, baik mereka yang berstatus import ataupun tempatan.

Antara yang pasti mencuri tumpuan adalah penyerang kelahiran Nigeria, Ismaheel Akinade apabila muncul sebagai penjaring terbanyak pasukan dalam kesemua pertandingan disertai.

Malah, personalitinya di luar padang juga cukup digemari mereka memandangkan pemain tinggi lampai berkenaan kerap memuat naik foto mengenai masa-masa latihannya ketika bersama skuad TRW.

Baru-baru ini, pemain berusia 29 tahun berkenaan sekali lagi menjadi bahan bualan penyokong Kelantan FC selepas berkongsi gambar yang memaparkannya sebagai seorang penjaga gol ketika dalam sesi latihan.

350806497_632757451806654_2399670155349447298_n

Hantaran yang dibuat Ismaheel di Instagram peribadinya menjadi bahan bualan ramai. Instagram/ismaheel_24

Foto yang disertakan kapsyen 'posisi baharu' itu jelas menarik perhatian apabila ia kerap dikongsikan orang ramai di media sosial.

Ia sedikit sebanyak menceritakan bahawa Ismaheel merupakan seorang yang berkebolehan untuk meningkatkan moral rakan sepasukan dengan personaliti positif meskipun kelab berkenaan berada dalam kemelut ketika ini.

Bagi sesetengah penyokong, mereka sempat bergurau dengan mengatakan pemain itu sesuai menggantikan Nik Mohd Amin Ahmad berikutan rekod pertahanan buruk yang dicatatkan Kelantan FC ketika ini.

"Penjaga gol baharu untuk perlawanan menentang Kelantan United pada Jumaat. Insya-ALLAH, jalan terus," kata Mark Pauh.

"Ismaheel pun nak cuba jadi penjaga gawang, penat-penat sahaja dia menjaringkan gol, pemain kita pula mudah-mudah sahaja berikan pihak lawan jaringan," kata Suhaimi Harun.

"Cubalah buat sejarah pertama kali dalam Liga Malaysia, bolos sendiri pun sudah berada dalam sejarah dan rekod tersendiri," kata Muhamad al-Azam.

Setakat ini, pemain bertubuh sasa itu sudah menjaringkan lima gol secara keseluruhan dengan tiga daripadanya hadir dalam aksi Liga Super. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram