BEKAS pemain Selangor FC, Nor Hakim Hassan sah menjadi milik Terengganu FC (TFC) selepas menandatangani kontrak setahun bersama Sang Penyu bagi baki saingan Liga Super.
Meninggalkan T-Team pada 2018 untuk menyarung jersi Perak sehingga muncul pemenang Piala Malaysia pada tahun tersebut, Nor Hakim kemudiannya memilih ke Selangor selepas dua musim berada di Ipoh.
Selepas hampir empat musim, sudah tiba masanya buat Nor Hakim kembali semula ke pangkuan negeri kelahirannya.
Perkembangan terkini mengenai kehadiran pemain berusia 31 tahun itu disahkan di laman sosial TFC pada Rabu.
Nor Hakim sah menyertai Terengganu FC. — Facebook/TFC
Kehilangan Nor Hakim itu membuatkan Selangor perlu mencari pengganti segera di posisi sayap yang ditinggalkan oleh bekas pemainnya itu.
Majoriti senaraikan tiga pemain yang sesuai untuk menggantikan posisi yang ditinggalkan Nor Hakim menjelang jendela perpindahan kedua nanti:
Safawi Rasid kembali ke JDT selepas tamat tempoh pinjaman bersama Ratchaburi. — Facebook/JDT
1. Safawi Rasid (JDT)
Hubungan bekas pemain Terengganu itu dengan Tan Cheng Hoe bermula ketika pengendali berkenaan menjadi ketua jurulatih pasukan kebangsaan pada 2017 sehingga 2021.
Namun sepanjang di bawah sentuhan bekas pengendali KDA FC itu, Safawi juga berada di puncak kariernya yang mana dia pernah membuat kejutan dengan menjadi pemain pertama mencetak hatrik bagi kejohanan Piala AFF 2020.
Bukan itu sahaja, Cheng Hoe juga merupakan individu yang sentiasa menyokongya untuk melebarkan sayap sehingga dapat beraksi di salah satu liga terbaik di Eropah iaitu kelab dari Portugal, Portimonense SC.
Sekiranya Safawi ingin kembali bersatu bersama Cheng Hoe, pasukan Selangor adalah pilihan tepat dan dia juga akan mudah membina keserasiannya bersama pemain lain berikutan ramai tonggak Harimau Malaya di skuad Gergasi Merah.
Hadin masih lagi lincah di padang setiap kali diturunkan. — Facebook/Penang FC
2. Hadin Azman (Penang FC)
Meskipun dikenali sebagai salah satu tonggak utama Kuala Lumpur City FC, pemain sayap, Hadin Azman memilih untuk meninggalkan pasukan itu dengan menyertai Penang FC pada musim ini.
Baru berusia 28 tahun membuatkan Hadin masih lagi lincah di padang setiap kali diturunkan.
Bersama skuad Harimau Kumbang, bekas pemain JDT itu juga berjaya mendapatkan kepercayaan daripada ketua jurulatih, Manzoor Azwira Abd Wahid meskipun aksinya di depan pintu gol lawan tidaklah terlalu membanggakan.
Ia membuktikan bahawa Hadin perlu dijaga rapi dengan tidak membenarkannya untuk melakukan hantaran mahupun melakukan larian deras, seperti yang kerap dilakukan sebelum ini.
Saravanan menjaringkan hatrik semasa menentang Singapura dalam kejohanan Sukan SEA 2023. — Facebook/KL City FC
3. T. Saravanan (KL City FC)
Pemain yang sedang meningkat naik, T. Saravanan antara bintang muda yang boleh menggantikan Nor Hakim di Selangor.
Pemain berusia 22 tahun itu, pernah menjaringkan hatrik semasa menentang Singapura dalam kejohanan Sukan SEA 2023 pada bulan lalu.
Di kejohanan domestik, Saravanan melakukan 10 penampilan, empat gol dan satu bantuan gol ketika diturunkan oleh Bojan Hodak.
Pernah beraksi bersama Selangor II, Saravanan mungkin calon yang paling ideal untuk dibawa pulang pihak pengurusan Gergasi Merah bagi menggantikan tempat yang ditinggalkan Nor Hakim. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram