ISU tunggakan gaji pasukan Kelantan FC semakin hangat diperkatakan apabila penjaga gol The Red Warriors (TRW), Mohd Farhan Abu Bakar terus melondehkan pendedahan mengenai isu tunggakan gaji dengan pengurusan pasukan.
Sebelum ini, bekas penjaga gol Harimau Muda B itu menerusi Instagram miliknya, mendedahkan audio yang dipercayai perbalahan di antara pemain TRW dan pemilik pasukan, Norizam Tukiman.
Pergaduhan mulut menerusi panggilan telefon itu ternyata mendapat perhatian orang ramai sehingga menimbulkan perasaan marah penyokong bola sepak negara ini.
Tangkap layar IG Story Leo Jeong. — Instagram
Di sebalik kehangatan masalah tunggakan gaji dan audio di antara Norizam atau lebih dikenali sebagai Zamsaham, penyokong mungkin mahukan pengesahan cerita berkenaan Choi Moon-sik yang terpalit dengan isu dalam skuad TRW.
Sebelum ini, ejen kepada Moon-sik, Leo Jeong melalui IG Story mendedahkan pengendali Kelantan FC itu sentiasa menjadi mangsa balingan botol dan makian bos Kelantan FC.
Bercakap kepada Majoriti, Farhan Abu Bakar berkongsi kisah benar yang berlaku dalam bilik persalinan melibatkan Moon-sik dengan insiden balingan botol.
"Benda itu memang terjadi, paling ketara ketika masa lawan Johor Darul Takzim (JDT) yang mana pergaduhan itu berlaku di dalam bilik persalinan pelawat di Stadium Sultan Ibrahim, Johor.
"Sebenarnya masa awal-awal pra-musim pun dia (Moon-sik) dah pernah kena, masa pergi lawan Buriram United pun dia dah kena walaupun ketika itu baru sertai TRW," katanya pada Majoriti.
Farhan Abu Bakar. —Facebook/TRW Kelantan FC
Penjaga gol berusia 30 tahun itu, turut memuji Moon-sik kerana sering mengutamakan kebajikan pemain-pemain Kelantan walaupun berdepan dengan kekangan.
"Hubungan dengan pemain 'in person' dia memang sangat baik, banyak 'back up' pemain dari isu tempat training, makanan, penginapan dan banyak juga dia lawan untuk pemain.
"Dia banyak mengadu dekat management tentang makanan pemain sebab bermain bola sepak ada pantang larang.
"Malah coach Moon-sik pun setiap hari datang tempat latihan siram sendiri padang dan semua gambar pasal makanan yang ejen dedahkan itu semuanya memang betul cuma tiada bukti berekod untuk jelaskan.
"Semua itu sekadar gambar sahaja," jelasnya.
Choi Moon-sik. —Facebook/TRW Kelantan FC
Bagi pandangan Farhan, punca pemecatan Moon-sik ialah dia tidak mempunyai masa yang cukup untuk mengenali budaya bola sepak negara.
"Saya rasa coach Moon-sik datang Malaysia terlalu singkat sebab dia tak dapat lagi adapt dengan budaya dan cara latihan pemain-pemain di sini.
"Tetapi 'effort' coach Moon-sik dan kebajikan pemain memang dia sangat jaga," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram