SELEPAS hampir tiga musim mengerah keringat bersama Selangor FC, Nor Hakim Hassan akhirnya memilih untuk berkelana demi kelangsungan kariernya.
Kehadiran pemain sayap kebangsaan, Faisal Halim merupakan antara faktor utama dia digugurkan daripada kesebelasan utama dengan hanya tiga penampilan direkodkan.
Perkara berkenaan pasti akan merencatkan peluangnya untuk berada dalam skuad kebangsaan, lebih-lebih lagi menjelang saingan Piala Asia pada awal tahun depan.
Jadi, selepas pemain sayap berkenaan sah meninggalkan skuad Gergasi Merah, pelbagai persoalan mula dilontarkan mengenai masa depannya sendiri.
Ini kerana dia difahamkan menarik perhatian dua kelab tempatan, iaitu Perak FC dan Terengganu FC memandangkan kedua-dua pasukan itu pernah meraih khidmatnya.
Terengganu FC mengumumkan kehadiran Nor Hakim pada Rabu. — Facebook/Terengganu FC
Namun, tanda tanya tersebut dengan segera lesap di bibir penyokong bola sepak tanah air selepas pengumuman pada Rabu mengesahkan Nor Hakim memilih untuk menyertai skuad Sang Penyu.
Antara faktor yang dikatakan mendorong pemain berusia 31 tahun itu menyertai Terengganu FC adalah kerana dia merupakan seorang anak jati Kuala Berang, Terengganu.
Perkara tersebut pasti memberi keterujaan buat penyokong kelab Pantai Timur berkenaan memandangkan langkah itu memberi gambaran bahawa pihak pengurusan lebih bertegas untuk jendela perpindahan kedua Liga Super.
Bagaimanapun, melihat kepada situasi Terengganu FC ketika ini, kehadiran Nor Hakim bukanlah sesuatu yang boleh diangkat sebagai titik perubahan buat pasukan itu.
Ia kerana terdapat dua kelebihan dan kelemahan yang boleh ditekankan mengenai kehadiran pemain sayap kebangsaan itu di pasukan yang muncul sebagai naib juara Piala FA 2022 tersebut.
Pro
1. Kehilangan Syafik Ismail
Peningkatan ketara yang dicatatkan pemain sayap kiri, Syafik Ismail sepanjang musim 2023 membuktikan kesungguhan Terengganu FC untuk mengasah bakat baharu.
Tiga bantuan jaringan yang direkodkan dalam 12 penampilan Liga Super mengharumkan lagi namanya dengan ada yang melabel pemain bertubuh kecil itu sebagai permata baharu negara.
Namun, baru-baru ini, pemain berusia 23 tahun itu terpaksa melupakan baki musim selepas mengalami kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL).
Perkara tersebut dialami Syafik, yang juga dikenali sebagai 'Kacang' ketika aksi suku akhir Piala FA menentang Kelantan FC di laman sendiri pada Sabtu lalu.
Syafik (tengah) mengalami kecederaan ACL ketika aksi Piala FA menentang Kelantan FC. — Facebook/Terengganu FC
Insiden itu pastinya cukup meruntun hati buat penyerang muda tersebut yang sedang dalam landasan terbaik untuk mengembangkan lagi kariernya.
Hal berkenaan juga semestinya satu tamparan buat ketua jurulatih, Tomislav Steinbruckner memandangkan Syafik sudah menerima kepercayaan penuh daripadanya ketika ini.
Bagaimanapun, kegusaran berkenaan akhirnya dapat dipadam dengan kehadiran Nor Hakim yang berkebolehan untuk beraksi di posisi sayap mahupun kiri.
Ia juga pastinya satu kelebihan buat pemain berkenaan memandangkan keputusan untuk menyertai Terengganu FC berlandaskan keperluannya untuk mendapatkan minit permainan.
Tetapi, persoalannya, adakah Nor Hakim akan terus diserap ke dalam pasukan memandangkan kelab tersebut turut memiliki Nik Sharif Haseefy yang mampu menggantikan Syafik dalam kesebelasan utama.
2. Tingkatkan kualiti skuad untuk ke Piala AFC
Berikutan kejayaan skuad Sang Penyu untuk menamatkan saingan Liga Super di tangga kedua, mereka akhirnya menamatkan penantian untuk beraksi di peringkat Asia.
Kehadiran mereka dalam Piala AFC di samping sebuah lagi kelab tempatan, Sabah FC pasti menarik perhatian lebih ramai pihak terhadap kualiti bola sepak tanah air.
Namun, kejayaan berkenaan juga pastinya menjadi satu tekanan buat pihak pengurusan dan kejurulatihan apabila ia akan menjadi satu cabaran baharu buat Terengganu FC.
Pengalaman Nor Hakim (kanan) bersama skuad kebangsaan merupakan satu kelebihan. — Agensi
Prestasi tidak meyakinkan di peringkat domestik semestinya menjadi topik perbincangan utama, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai kebolehan mereka di tahap lebih tinggi.
Tetapi, apa yang lebih merunsingkan pasti adalah mengenai kualiti skuad sedia ada memandangkan perlawanan Piala AFC akan menyaksikan jadual pasukan lebih padat.
Antara solusi yang boleh diambil adalah dengan memastikan skuad Sang Penyu mempunyai jumlah pemain yang mencukupi bagi mengelakkan isu-isu kecergasan dan kecederaan.
Oleh itu, kehadiran Nor Hakim boleh dikatakan sebagai solusi awal daripada pihak pengurusan Terengganu FC berdasarkan pengalaman pemain berkenaan.
Selain sudah bertahun-tahun beraksi di peringkat teratas dalam Liga Malaysia, penampilannya bersama skuad kebangsaan juga boleh dianggap sebagai satu tonik tambahan buat pasukan.
Tambahan pula, dengan jendela perpindahan dijangka akan dibuka pada Julai, pemain berkenaan mempunyai masa panjang untuk memastikan dirinya berada di tahap terbaik sebelum merekodkan debut pertama bersama skuad Sang Penyu.
Kontra
1. Usia
Tidak boleh dinafikan bahawa salah satu faktor Nor Hakim jarang diberikan minit permainan musim ini adalah kerana dia sudah berusia 31 tahun.
Meskipun ia merupakan tanggapan awal bahawa pemain berumur tidak mempunyai tahap stamina yang baik, beberapa penampilan musim lalu seakan-akan membuktikan perkara itu.
Jika dilihat Terengganu FC musim ini, mereka dibarisi skuad yang muda, seperti Azam Azmi Murad dan Syafik Ismail yang masing-masing berada di kategori Bawah 23 Tahun (B-23).
Ini kerana Tomislav dan pihak kejurulatihan pasukan mahu menerapkan taktikal dan falsafah yang memerlukan stamina lebih tinggi daripada pemain.
Jadi, dengan kebolehan Nor Hakim untuk memberi tekanan kepada pihak lawan semakin terhad, ia pastinya menjadi satu cabaran buat pihak kejurulatihan kelab.
Tomislav perlu mencari solusi untuk posisi terbaik Nor Hakim. — Facebook/Terengganu FC
Tomislav bagaimanapun masih memiliki pilihan dengan dia boleh memberi peranan baharu buat pemain berkenaan supaya khidmatnya boleh ditagih untuk 90 minit permainan.
Selain meletakkannya di posisi sayap kanan bersama Azam Azmi Murad, Nor Hakim juga boleh beraksi untuk separuh masa kedua permainan yang tidak akan menjejaskan tahap kecergasannya.
Di samping itu, perubahan juga boleh dibuat dengan memberi tugas buat penyerang sayap tersebut melancarkan gerakan balas memandangkan dia mempunyai kelajuan tersendiri.
Tetapi, dengan Tomislav juga mempunyai visi dalam perlawanan, adakah dia akan terbuka untuk melakukan perubahan demi Nor Hakim seorang?
2. Rencat keserasaian Mamut, Adisak dalam pasukan
Sepanjang jendela perpindahan lalu, Terengganu FC melakukan perbelanjaan besar-besaran untuk mengukuhkan jentera serangan yang berdepan rombakan mendalam.
Penyerang kelahiran Croatia, Ivan Mamut dibawa masuk dengan kebolehannya untuk membawa dimensi baharu buat kelab Pantai Timur tersebut.
Selain itu, pemain berbisa dari Thailand, Adisak Kraisorn juga diberikan peluang pertama dalam arena bola sepak Malaysia selepas bertahun-tahun mencipta nama di negara sendiri.
Namun, setakat ini, kedua-dua peledak berkenaan masih belum boleh dikategorikan sebagai watak utama pasukan dengan jumlah jaringan yang cukup mengecewakan.
Mamut mula mendapatkan rentak bersama skuad Sang Penyu ketika ini. — Facebook/Terengganu FC
Tetapi, dua penyerang tersebut semakin lama sudah menempatkan dirinya dalam skuad Sang Penyu sehingga nama masing-masing meniti di bibir penyokong Terengganu FC.
Kebolehan Adisak untuk mencipta gandingan serasi bersama pemain kelahiran Ghana, Jordan Mintah boleh disifatkan sebagai satu langkah positif buat kelab berkenaan untuk terus ke hadapan.
Bagi Mamut pula, latar belakangnya juga memudahkan pemain itu untuk berkomunikasi bersama Tomislav, sekali gus memberi suntikan buat jentera serangan kelab Pantai Timur itu.
Bagaimanapun, dengan kehadiran Nor Hakim, tanda tanya mula timbul mengenai masa depan Adisak dan Mamut dengan ada yang berasakan terdapat rombakan kali kedua bakal dibuat.
Oleh itu, Tomislav perlu mencari solusi terbaik untuk kesemua pihak bagi memastikan keharmonian di bilik persalinan tidak terkesan memasuki separuh musim kedua Liga Super. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram