CAMPUR tangan daripada Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) terhadap kemelut pengurusan yang dialami Kelantan FC seperti memberi gambaran bahawa isu tersebut hanya akan berterusan.
Kelewatan pembayaran gaji, penggunaan bahasa kesat dan peperangan mulut yang sering terjadi seakan-akan menceritakan situasi sebenar kelab Pantai Timur itu.
Perkara tersebut pastinya sukar untuk ditelan rata-rata penyokong pasukan apabila mereka sudah terlalu lama menantikan kepulangan skuad The Red Warriors (TRW) ke divisyen teratas bola sepak tanah air.
Namun, masalah-masalah berkenaan dijangka akan terus mencipta jurang antara pengikut setia dan kelab meskipun ada yang masih bertahan demi pasukan kesayangan.
Lebih merisaukan lagi, situasi tersebut dijangka akan menyaksikan segelintir individu, termasuk pemain memilih untuk meninggalkan skuad TRW.
Meskipun terdapat laungan agar mereka bermain demi lencana di dada, kebajikan yang tidak dijaga pasti akan mempengaruhi psikologi serta hubungan mereka dengan Kelantan FC.
Nurshamil dikenali orang ramai selepas muncul sebagai penjaring terbanyak tempatan Liga Perdana 2022.
Antara yang dijangka akan memilih untuk berhijrah dalam masa terdekat ialah penyerang, Nurshamil Abd Ghani selepas kurang mendapat minit permainan musim ini.
Selepas muncul sebagai penjaring terbanyak tempatan Liga Perdana 2023, pemain kelahiran Melaka itu lebih kerap muncul di bangku simpanan.
Khabar angin itu muncul berikutan pendedahan yang dibuat Nurshamil menerusi satu sesi live TikTok pada Isnin dengan dia mengatakan lebih tertarik untuk menyertai Kelantan United FC.
Bagaimanapun, dalam satu ura-ura berbeza, pemain berusia 29 tahun itu juga difahamkan mula menarik perhatian sebuah lagi kelab yang berpangkalan di Pantai Timur tanah air, Sri Pahang FC.
Ia disebabkan kekurangan penyerang berbisa dalam skuad Tok Gajah musim ini dengan tugasan berkenaan hanya dipikul pemain kebangsaan Liberia, Kpah Sherman.
Kpah Sherman (kanan) merupakan penyerang tunggal Tok Gajah ketika ini. — Facebook/Sri Pahang FC
Jadi, dengan Nurshamil mempunyai pengalaman cukup mendalam sepanjang bergiat dalam arena bola sepak tempatan, terdapat kemungkinan bahawa dia mampu memberi sumbangan seperti mana diharapkan.
Namun, hal sebaliknya berlaku apabila sebahagian besar pengikut Sri Pahang FC menolak kehadiran pemain berketinggian 1.78 meter itu.
Ini kerana mereka berasakan penyerang tersebut tidak memenuhi ciri-ciri seorang yang boleh meningkatkan tahap semasa kelab berdasarkan pemerhatian sejak kebelakangan ini.
"Pemain dalam kelab Jerantut FC pun ada yang laju dan mempunyai skil tersendiri, kenapa tidak turun dan saksikan mereka yang lebih baik sahaja?" kata Din Patin.
"Rasanya, dia ni berada di tahap yang biasa-biasa sahaja, gaya permainannya juga sedikit malas dan skil pun tidak berapa hebat," tulis Slumburz Mohd Faizal.
"Kalau tahap hanya seperti Baqiuddin (Shamsudin), Shahrul Nizam Nadzir atau Ashar Al-Aafiz, rasanya tidak perlu diambil untuk pasukan ini," kata Ebby Danial Mokhtar.
Selepas 12 perlawanan Kelantan FC, Nurshamil hanya diturunkan sebanyak enam kali dengan hanya satu daripadanya merupakan aksi dalam kesebelasan utama.
Bagaimanapun, penyerang itu masih berjaya mencetak gol dalam saingan Liga Super apabila menjaringkan gol ketika aksi menentang Terengganu FC. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram