PERAK FC memasuki musim ini dengan harapan yang agak tinggi selepas pasukan tersebut berjaya naik pangkat untuk beraksi di Liga Super.
Malah strategi pihak pengurusan untuk menampilkan sepenuhnya muka baharu di dalam pasukan di samping melantik jurulatih dengan reputasi yang agak tinggi seperti Datuk Lim Teong Kim ternyata menimbulkan keterujaan kepada penyokong The Bos Gaurus (TBG).
Bagaimanapun, skuad Seladang kembali disedarkan kepada realiti apabila pasukan tersebut dilihat bergelut untuk bersaing bersama pasukan lain dalam perlawanan pusingan pertama Liga Super musim ini.
Meskipun masih terdapat sisi positif ditampilkan dalam gaya permainan yang dipamerkan, kegagalan jurulatih kelahiran Melaka itu bagi memberikan hasil yang lebih menyakinkan membuat ramai peminat TBG mula hilang sabar.
Selain menghadapi isu kekurangan pengalaman dalam barisan pemainnya, pendekatan corak permainan diterapkan Teong Kim yang disifatkan sebagai terlalu naif juga menjadi sasaran kritikan penyokong dan pemerhati bola sepak negara.
Untuk rekod, selepas 12 perlawanan, Perak FC berada di kedudukan ke-11 carta liga daripada 14 pasukan dan hanya memungut sembilan mata hasil dua kemenangan, tiga seri dan tujuh kekalahan.
Prestasi tidak menentu itu menyebabkan pengurusan TBG mengambil keputusan untuk memecat Teong Kim meskipun Liga Super belum menghampiri separuh musim.
Namun begitu, terdapat segelintir pihak berpendapat tindakan drastik itu berpotensi merencatkan matlamat dan visi pembinaan pasukan yang sudah dimulakan jurulatih kelahiran Melaka itu sejak beliau mengambil pasukan pada September tahun lalu.
Sehubungan itu, Majoriti menggariskan tiga jurulatih yang dilihat memiliki keupayaan untuk meneruskan legasi Teong Kim sekiranya dipilih untuk mengendalikan pasukan Perak FC:
1. Frank Bernhardt Frank
Frank (kanan) dilantik sebagai ketua jurulatih Kelantan FC pada April lalu. — Facebook/TRWKelantanFC
Meskipun baru sahaja dilantik sebagai ketua jurulatih Kelantan FC pada awal April lalu, kedudukan Frank Bernhardt bersama skuad Pantai Timur itu dilihat masih tidak menentu.
Ini kerana pihak pengurusan The Red Warriors (TRW) meletakkan petunjuk prestasi yang agak tinggi selain bersifat jangka masa pendek.
Disebabkan itu, Perak FC dilihat berpotensi untuk mendapatkan jurulatih kelahiran Jerman itu sekiranya pengurusan TBG mampu menawarkan sesuatu projek menarik dan jelas dengan sasaran yang lebih bersifat jangka panjang.
Berbanding Teong Kim, Frank, 53, dilihat lebih berpengalaman dalam mengendalikan pasukan yang bersaing di Liga Malaysia (M) ketika tempohnya bersama UiTM FC selama tiga musim.
Dia turut menjadi individu penting membawa UiTM FC naik pangkat ke Liga Super pada musim 2021.
Lebih menarik lagi, bekas pengendali skuad Harimau Muda Bawah 23 Tahun (B-23) itu juga mempunyai pengalaman mengendalikan pasukan dengan bajet yang sederhana bagi bersaing di Liga M.
Dalam pada itu, pengalamannya menjadi jurulatih skuad belia seperti Estonia (B-21) dan Kalju FC (B-21) tentunya penting dalam memberikan tunjuk ajar kepada barisan pemain muda Perak FC.
2. P Maniam
Maniam ketika mengendalikan PJ City FC. — Facebook
Selepas Petaling Jaya (PJ) City diumum dibubarkan pada akhir tahun lepas, P Maniam menjadi antara nama yang dicari-cari oleh kelab bola sepak di dalam negara.
Terdapat beberapa kelab dikhabarkan sudah merisik untuk mendapatkan khidmat bekas pengendali Selangor itu antaranya Penang FC, PDRM FC dan Kelantan FC.
Kejayaannya memastikan pasukan PJ City FC terus bersaing secara kompetitif selama tiga musim di Liga Super bermula 2019 di sebalik langkahnya menggunakan 100 peratus pemain tempatan merupakan suatu pencapaian yang agak membanggakan.
Disebabkan itu, Maniam dilihat menjadi antara sosok yang dilihat mampu untuk mengembalikan keyakinan Perak FC untuk mendapatkan keyakinan bagi bersaing dengan lebih baik di Liga Super.
Selain mempunyai pengalaman dalam Liga Malaysia (M), kewibawaan dimilikinya pengendali berusia 54 tahun itu juga boleh digunakan untuk menarik beberapa pemain berpengaruhu di dalam negara bagi menyuntik elemen pengalaman yang didapati sangat diperlukan skuad TBG ketika ini.
Pada waktu ini, Maniam yang bersama pasukan yang beraksi di Liga M3, Harini FC berjaya membawa masuk beberapa nama besar bersamanya seperti beberapa bekas pemain kebangsaan iaitu Nasir Baharuddin, Thanabalan Nadarajah, Khyril Muhymeen dan Norshahrul Idlan Talha.
3. Brad Maloney
Brad ketika mengendalikan skuad B-23 negara.
Selepas kira-kira lapan tahun berkhidmat bersama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Brad Maloney akhirnya mengumumkan perpisahannya bersama badan induk bola sepak negara itu pada Ogos tahun lalu.
Tempoh tersebut bukan waktu yang singkat untuk seseorang jurulatih mengenali dengan lebih dekat tahap bola sepak di dalam negara.
Disebabkan itu, pengalaman luas dimiliki oleh Brad yang kini dilantik sebagai Ketua Jurulatih skuad Australia B-17 pastinya boleh menjadi sesuatu yang berharga bagi skuad Perak FC.
Pada masa sama, rangkaian hubungan yang dimilikinya bekas pengendali skuad Malaysia B-23 sepanjang berkhidmat di dalam arena bola sepak negara itu tentunya penting khususnya dalam memastikan skuad TBG mendapatkan bakat terbaik di Malaysia.
Walaupun tidak mempunyai pendedahan secara formal dalam mengendalikan kelab bola sepak profesional di dalam negara, kehadiran individu berpengalaman seperti Yusri Che Lah yang kini merupakan jurulatih sementara Perak FC dilihat berkemungkinan mampu membentuk gandingan bersama Brad, 51, bagi mendapatkan hasil terbaik buat skuad TBG. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook,