Selain Haqimi Azim, tonggak 'low profile' Penang FC pula jadi impian skuad TBG


  • Podium
  • Selasa, 30 Mei 2023

Haqimi merupakan antara yang dimahukan rata-rata penyokong Perak FC. — Facebook/Kuala Lumpur City

MEMASUKI pertengahan musim 2023, Perak FC terus bergelut dalam kancah Liga Super apabila berada di tangga ke-11 selepas 12 perlawanan.

Dua kemenangan yang direkodkan setakat ini pastinya masih belum mencukupi buat pihak pengurusan dan penyokong selepas perbelanjaan besar dibuat sebelum liga bermula.

Jadi, dengan jendela perpindahan kedua dijangka dibuka pada Julai, terdapat kemungkinan bahawa rombakan akan dibuat terhadap skuad The Bos Gaurus (TBG).

Langkah tersebut seperti sudah bermula dengan Datuk Lim Teong Kim digugurkan daripada jawatan ketua jurulatih sebelum Yusri Che Lah diberikan peranan berkenaan secara sementara.

Tetapi, sekiranya mereka berhasrat untuk terus membawa perubahan terhadap pasukan, perbelanjaan besar-besaran dilihat terpaksa dilakukan pihak pengurusan.

348825565_1186418068649688_3028720878638115764_n

Perak FC perlu berbelanja besar untuk kali kedua. Facebook/Perak FC

Selain perlu menyingkirkan beberapa pemain tidak berkualiti, skuad TBG dinasihatkan untuk membawa masuk pemain yang mempunyai kualiti dan berpengalaman beraksi dalam Liga Super.

Ketika ini, Perak FC memiliki antara skuad termuda dalam divisyen bola sepak teratas tempatan dengan pendekatan itu cukup digemari Teong Kim.

Oleh itu, terdapat kemungkinan besar bahawa kelab Utara tanah air tersebut akan mendapatkan khidmat pemain muda agar tidak mengganggu keharmonian dalam bilik persalinan.

Bagi penyokong skuad TBG, sasaran berkenaan boleh dikatakan realistik memandangkan mereka tidak mahu memberi tekanan terhadap struktur kewangan pasukan.

Menerusi tinjauan di media sosial, seorang peminat setia Perak FC menerusi akaun Facebook Info Bola Sepak Perak melihat dua pemain muda tempatan sesuai untuk mengukuhkan lagi kelab berkenaan.

"Antara pemain yang bagus dan berpotensi besar pada tahun-tahun akan datang ialah Haqimi Azim Rosli kerana dia ada fizikal dan kelajuan yang baik.

"Tetapi, sepanjang berada di Kuala Lumpur City, dia kurang mendapatkan minit permainan kerana ada pemain berpengalaman seperti Zafri Yahya, Romel Morales dan Paulo Josue," tulisnya.

347563473_257388423527181_645833264055377558_n

Rahmat menjadi sasaran baharu skuad TBG ketika jendela perpindahan akan datang. Facebook/Penang FC

Musim ini, Haqimi hanya berpeluang beraksi dari bangku simpanan, sekali gus menyekatkan peluangnya untuk menjaringkan sebarang gol buat skuad Warga Kota.

Dia yang baru sahaja berusia 20 tahun itu pernah mencuri perhatian peminat bola sepak tempatan selepas mencetak gol peribadi ketika menyarung jersi skuad kebangsaan dalam saingan Piala AFF 2022.

Selain itu, penyokong berkenaan juga berminat sekiranya Perak FC mampu menyambar khidmat pemain Terengganu FC, Rahmat Makasuf yang kini dipinjamkan ke Penang FC.

"Rahmat pun agak berpotensi dengan usianya memasuki 25 tahun. Kalau kita lihat permainan dia, kita akan ingat dia ni pemain import kerana dia low-profile dan tidak dikenali ramai," tulisnya lagi.

Setakat 12 perlawanan Liga Super skuad Harimau Kumbang, pemain sayap kanan itu sudah mengumpul 11 penampilan yang membantu pasukan Utara tanah air itu menduduki tangga kesembilan Liga Super.

Pemain kelahiran Kuala Berang, Terengganu itu sebelum ini memilih untuk berkelana selepas kehadirannya seakan-akan tidak memberi impak buat skuad Sang Penyu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram