SEORANG kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun dimasukkan ke hospital selepas mengalami sesak nafas, pening kepala dan loya akibat termakan biskut dipercayai mengandungi ganja yang dibuat oleh bapanya.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, pihaknya menerima laporan daripada pembantu perubatan di Klinik Kesihatan Lawin berkaitan kejadian itu sekitar pukul 10.26 malam pada Isnin.
Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati mangsa termakan biskut disyaki dicampur dengan ganja yang menyebabkan dia mengalami simptom tersebut.
"Mangsa telah dibawa ke Hospital Gerik dan dirujuk ke Hospital Taiping untuk pemeriksaan dan rawatan selanjutnya.
"Kanak-kanak berkenaan yang dibawa ke hospital oleh ayahnya sendiri dilaporkan berada dalam keadaan stabil," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Jelas Mohd Yusri, saringan ujian awal air kencing mendapati suspek berusia 38 tahun yang bekerja sebagai penoreh getah itu positif dadah jenis tetrahydrocannabinol (THC).
Tambahnya, suspek direman mulai 30 Mei sehinga 3 Jun untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Menjengah ke laman media sosial, rata-rata warganet meluahkan kemarahan mereka terhadap tindakan bapa berkenaan.
"Apa benak sangat bapaknya ini? Tak faham aku wujud orang-orang kekurangan akal sihat ini," kata Nrsyh.
"Allahu, apa punya bapalah? Tak fikir langsung kesan-kesan," tulis Lie Rs O.a Ibrahim.
"Dari dulu sampai sekarang masalah dadah tak pernah selesai sebab atas sana ada orang pecah amanah, makan rasuah," ujar hafeez1408. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram