TONGGAK warisan negara, Dion Cools melengkapkan tahun pertamanya di Thailand dengan kejuaraan treble selepas membantu kelabnya Buriram United muncul juara Piala FA.
Perlawanan berkenaan menyaksikan Buriram menewaskan Bangkok United, 2-0 dan ia merupakan trofi ketiga pasukan tersebut pada musim ini setelah mengesahkan kejuaraan Piala Liga Thai minggu lepas.
Dua pemain yang menjadi wira menjaringkan gol dalam aksi tersebut ialah pemain sayap kiri, Jonathan Bolingi pada minit ke-45 dan Theerathon Bunmathan menyumbang gol terakhir di babak akhir perlawanan.
Di sebalik malam gemilang Buriram United, perlawanan turut dicemari dengan insiden pergaduhan antara penyerang import, Bolingi dan pembantu jurulatih Bangkok United yang tercetus ketika masa kecederaan.
Buriram menjulang kejuaraan ‘treble’ selepas muncul juara Piala FA selepas menewaskan Bangkok United. — Agensi
Kedua-duanya bertukar kata-kata kesat dan kemudian bergaduh melibatkan fizikal sehingga Bolingi bertindak luar kawalan apabila menumbuk muka kakitangan kejurulatihan Bangkok United.
Kedua-dua kakitangan pasukan meluru masuk untuk menarik dua individu itu dan kemudian pengadil bertegas mengarahkan Bolingi keluar padang.
Susulan kejadian itu, Presiden Buriram, Newin Chidchob, membuat keputusan untuk menggugurkan pemain berusia 28 tahun itu dari pasukan walaupun menyedari Bolingi seorang tonggak utama dan kini merupakan 'free agent'.
Pemain kebangsaan dari Congo itu merupakan antara watak utama kelab divisyen satu Thailand itu sejak dia mulai menyertai Buriram pada Disember 2021 dan rekod jaringannya juga membuktikan Bolingi adalah ayam tambatan pasukan.
Bolingi mulai menyertai Buriram pada musim 2021. — Agensi
Selepas diturunkan dalam 53 perlawanan, pemain berketinggian 1.90 meter itu menjaringkan 26 jaringan gol dan sembilan hantaran bantuan sepanjang berkhidmat selama hampir tiga tahun bersama Buriram.
Dengan jumlah jaringan yang mengagumkan itu, adalah wajar jika beberapa kelab Liga Super akan cuba memikat dan medapatkan kepakaran Bolingi.
Pasukan yang memerlukan talian hayat di bahagian serangan seperti Perak FC, Sri Pahang dan Sabah FC pastinya memerlukan tonggak sayap berpengalaman seperti Bolingi untuk membantu mendapatkan mata. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram