'Mereka buang pemain atau coach?' Bos Perak FC jawab sebab buang LTK walaupun 'team' teruk


  • Podium
  • Rabu, 31 Mei 2023

Bobie (kiri) berkata demikian dalam satu sesi temu bual yang dianjurkan Perak FC. — Facebook/Perak FC

KEPUTUSAN Perak FC untuk menggugurkan ketua jurulatih berpengalaman, Datuk Lim Teong Kim mencetuskan tanda tanya dalam kalangan penyokong kelab.

Pengendali yang kini berusia 59 tahun itu digugurkan memandangkan kelab Utara tanah air itu berada di tangga ke-11 Liga Super selepas 12 perlawanan.

Tanda tanya pasti diberikan kepada pihak pengurusan yang dikatakan tidak mahu memberikan peluang buat Teong Kim walaupun mempunyai latar belakang kejurulatihan cemerlang.

Menjawab akan perkara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perak FC, Bobie Farid Shamsuddin berkata, ia merupakan langkah biasa dalam dunia bola sepak untuk menggugurkan ketua jurulatih berbanding melakukan rombakan besar-besaran terhadap skuad.

"Jika kita lihat di luar sana, jika sesebuah pasukan itu mengalami keputusan yang teruk, adakah mereka buang pemain atau pengendali?

"Tiada mana-mana pasukan yang buang hampir majoriti pemain dan kekalkan coach kerana setiap pihak perlu bersetuju dengan petunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan dan kita perlu bersetuju dengan tanggungjawab siapakah untuk mencorakkan pasukan ini," katanya.

Dia berkata demikian ketika satu sesi temu bual yang dianjurkan Perak FC, Sembang Gaurus dengan tujuan membincangkan mengenai hala tuju dan keadaan semasa pasukan.

Perkara tersebut dibincangkan apabila Bobie ditanya mengenai tanggapan sesetengah pihak yang mengatakan keputusan menepikan Teong Kim adalah berpunca daripada desakan penyokong skuad TBG.

Namun, bagi Bobie yang juga merupakan CEO XOX Sdn Bhd, tindakan itu dibuat selepas pelbagai perbincangan dibuat di kesemua tahap pasukan.

"Kalau kita tengok laungan daripada penyokong, ada pelbagai jenis dan bukan yang mendesak agar Teong Kim dikeluarkan sahaja, nama saya pun timbul.

"Ada juga yang minta pemain seperti Hafizal (Mohamad) out, Shivan (Pillay) out. Tapi kita tidak boleh ambil sebagai satu sebab untuk buat keputusan kerana ia merupakan sesuatu yang sangat subjektif. Cuma, ia adalah satu kebetulan," katanya.

Selepas Teong Kim digugurkan, peranan ketua jurulatih diberikan kepada pengendali skuad Bawah 23 Tahun Perak FC, Yusri Che Lah yang pernah membimbing kelab berkenaan untuk beberapa musim. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram