Syafiq Ahmad beri hint rebut kesebelasan utama


  • Podium
  • Selasa, 30 Mei 2023

Syafiq berjaya meledak gol sulung selepas tampil sebagai pemain gantian dalam saingan Piala FA menentang Penang FC musim ini. — Instagram/ syafik_ahmad20

KELIBAT penyerang negara, Syafiq Ahmad mungkin tidak begitu dirasai musim ini selepas pemain tersebut kurang mendapat banyak peluang dalam aksi Liga Super bersama Johor Darul Takzim (JDT).

Ini kerana, Syafiq perlu bersaing sengit bersama ramai penyerang handalan lain untuk cuba merebut tempat dalam kesebelasan utama atau sebagai pemain simpanan bagi meraih minit permainan lebih banyak.

Musim lalu, Syafiq tampil berbisa bersama Kedah Darul Aman FC (KDA FC) selepas dia dipinjamkan oleh JDT kepada pasukan tersebut pada awal tahun dengan beberapa ledakan gol berjaya terhasil.

WhatsApp Image 2023-05-30 at 18.49.34

Syafiq ledak gol pertama dalam saingan Piala FA musim ini. Instagram/ syafiq_ahmad20

Syafiq berjaya mendapatkan momentum tersendiri pada tahun lalu di peringkat domestik dengan enam gol dihasilkan serta turut merekodkan enam bantuan jaringan secara keseluruhan.

Meskipun begitu, beraksi bersama JDT merupakan satu cabaran berguna buat Syafiq Ahmad untuk terus meningkatkan lagi kualiti permainan beliau supaya tidak terus selesa dengan prestasi semasa.

Pemain berusia 27 tahun itu berjaya membalas budi pengendali kelab iaitu Esteban Solari selepas meledak salah satu gol ketika mereka menewaskan Penang FC pada aksi suku akhir Piala FA 2023.

Saat ramai penyerang tempatan mula melakar nama bersama pasukan masing-masing, Syafiq Ahmad masih dianggap sangat relevan buat skuad kebangsaan kerana pengalaman dan tahap permainan yang masih berkualiti.

Hal ini dapat dilihat pada aksi terbaharu ketika Syafiq membantu JDT membenam Harimau Kumbang menerusi impak diberikan olehnya walaupun sebagai pemain simpanan sahaja.

Pastinya kelibat Syafiq menjadi tumpuan pengendali skuad kebangsaan iaitu Kim Pan-gon untuk terus menilai prestasi semasa barisan penyerang tempatan sebelum saingan Piala Asia 2023 bermula.

Ketika ini, prestasi pemain barisan hadapan negara boleh dianggap dalam keadaan menyakinkan bersama kelab masing-masing dengan beberapa nama bintang tempatan tampil sangat menyerlah.

Selain memberi fokus kepada Faisal Halim dan Arif Aiman Hanapi, beberapa pemain tempatan lain juga berada dalam momentum tersendiri untuk menarik perhatian Pan-gon untuk mewakili skuad kebangsaan antaranya Shahrel Fikir.

Penyerang berketinggian 1.75 meter Negeri Sembilan FC membuktikan masih tajam di hadapan pintu gol menerusi empat jaringan ketika bersama pasukan tersebut.

Ini juga akan memberi satu lagi persaingan sengit buat Syafiq untuk cuba merebut tempat dalam skuad kebangsaan selepas melihat beberapa penyerang lain mempamerkan impak positif masing-masing.

Namun begitu, Syafik tidak perlu risau dan terus fokus dalam sesi latihan supaya kehadirannya terus menarik hati Solari untuk tersenarai dalam siri perlawanan akan datang. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram